HARI ini saya mahu berbincang tentang seperkara yang saya fikir rakyat Malaysia terutama orang Melayu tidak kisah atau tidak ambil peduli ataupun tidak tahu.

Ketika ini saya berjinak-jinak dalam bidang permakanan daripada menternak ikan sehinggalah saya berhajat membuka sebuah kedai makan di Putra Height yang dinamakan Rasa D Teluk Ensen.

Restoran saya ini akan mengutamakan beberapa masakan Perak. Terutama dari bandar kelahiran saya Teluk Intan.

Setelah terlibat dalam bidang ini baru lah saya tahu bahawa restoran paling banyak di Malaysia ialah restoran mamak dan restoran tom yam.

Dua bangsa yang menguasai ekonomi pemakanan di negara kita, suatu India Muslim dari India dan kedua orang Pattani dari selatan Thailand.

Orang Melayu tempatan hanya sekadar 15 peratus hingga 20 peratus sahaja. Daripada 20 peratus itu paling tinggi ialah orang Kelantan.

Orang Perak dan dari negeri lain secara umumnya sekadar berniaga di negeri sendiri dan tidak berhijrah ke negeri lain.

Masakan Patin tempoyak pula dikuasai oleh orang Pahang. Walaupun masakan tempoyak ini juga sinonim dengan negeri Perak tetapi belum ada saya jumpa nama restoran Patin tempoyak masakan Perak.

Tetapi patin tempoyak Temerloh dan tempoyak Lipis banyak sekali di Lembah Klang.

Negeri pengeluar ikan patin paling besar ialah Perak, bukan Pahang. Pahang dan Perak masing-masing ada sungai yang besar, kedua-duanya ada kelebihan tersendiri.

Tetapi Pahang berjaya menjadikan patin itu seolah-olah milik Pahang. Lebih menarik, patin yang ada di Pahang juga sesetengahnya datang dari Perak. Isu ini akan saya ulas pada masa lain.

Yang saya mahu nyatakan ialah kelemahan Melayu kita di Malaysia ini. Kita telah kalah dengan mamak dan orang Pattanikerana mereka menguasai industri ini. Kenapa boleh jadi begini?

Sehinggakan rakyat Malaysia tanpa nasi kandar, maggi goreng, roti canai, tom yam, tiga rasa, masam manis, siakap kukus, telur dadar dan seangkatannya kita akan menjadi huru hara. Begitu hebatnya dua bangsa ini dan begitu lemahnya bangsa Melayu kita.

Di kedai tom yam, taukeh dan semua pekerja 100 peratus dari selatan Thailand. Dan mereka telah menguasai sindiket jabatan tertentu sehingga kebanjiran mereka membuka restoran di seluruh negara menjadi-jadi.

Tiada di negara lain membenarkan rakyat luar berniaga begitu bebas sekali, selain Malaysia.

Jangan sangka restoran tom yam yang ada di mana-mana itu milik orang Malaysia. Mereka itu datangnya dari Pattani. Begitu juga pekerja di kedai mamak.

Apabila saya berfikir dan memasuki bidang ini baru lah saya tersedar apa yang tidak kena dengan bangsa kita ini. Setiap tahun, pelbagai kolej mengeluarkan ratusan ribu pelajar termasuk dalam bidang pemakanan tetapi kita tetap juga tidak mampu berdiri di negara kita sendiri.

Saya tahu, ramai rakyat Pattani menjadi kaya raya hasil daripada empayar kedai makan tom yam di negara kita. Tetapi, mereka tidak membantu menaikkan ekonomi orang Melayu.

Pekerjanya bukan rakyat Malaysia, barang-barang pula dari Thailand. Jadi bagaimana bagaimana ekonomi tempatan boleh membangun.

Antara kebimbangan saya ialah dari segi sumber produk makanan. Contohnya, saya difahamkan daging lembu yang mereka ambil dari Thailand itu diimport dari Brazil, Argentina dan negara yang sumber halalnya diragui.

Tetapi oleh sebab ekor lembu adalah hidangan wajib di restroran tom yam, maka ia perlu dicari. Dan ekor lembu ini di pasaran tempatan tidak ada dari India. Dan akhirnya datang lah dari negara yang diragui.

Kedai mamak pula semua pekerjanya dari India. Tidak ada pekerja tempatan. Tidak ada anak muda yang berminat. Jika ada pun masalah displin sangat mencabar kita. Akhirnya pekerja India dan Indonesia menjadi pilihan bagi pemilik restoran.

Tapi perkara ini tidak dibahaskan di Parlimen, tidak diambil peduli oleh ahli politik dan dilihat sepi oleh pelaksana dasar.

Maka tanpa kita sedar mereka mereka yang berkuasa sedang memusnahkan negara kita ni secara perlahan lahan dari dalam.

Apa akan jadi jika mamak dan orang Pattani tidak ada dalam negara kita. Barangkali rakyat Malaysia boleh mati dan tidak ada makanan.

Tetapi siapalah saya untuk melihat perkara ini. Kita hanya anak kampung yang sedih melihat anak bangsa merempat di negara sendiri.

Saya sedih berjuta-juta duit kita mengalir ke luar negara setiap hari. Saya sedih melihat anak Melayu tidak mampu menguasai bidang yang paling penting ini.

Sebenarnya telah lama kita gadaikan negara kita kepada orang luar. Siapakah yang patut kita salahkan. Apakah sistem pendidikan atau pemerintah yang selama ini gagal melahirkan rakyat yang mampu berdikari.

Itu belum saya bincang tentang kedai runcit yang dikuasai oleh orang Acheh dan penjual durian oleh orang Padang Indonesia.

Barangkali rakyat Malaysia banyak jadi ‘jaga’ (pengawal) dan penagih dadah daripada menjadi bangsa yang bermutu. – 29 Julai 2019.

HAMDAN TAHA,
Penganalisis politik.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

1 COMMENT

  1. Saya rasalah, cara terbaik untuk naikkan minat dan kerajinan orang-orang melayu untuk menaikkan ekonomi mereka dan menjurus kepada kenaikkan ekonomi negara ialah dengan memvuka kelas-kelas motivasi dan teknik-trknik perniagaan Elakkan sama sekali membezakan orang melayu dengan kehebatan bangsa lain. Tumpukan pada memotivasikan bang melayu tanpa meracuni otak mereka untuk membenci bangsa lain dan sebaliknya mengambil iktibar untuk tumpu pada niat, tujuan, cara dan perkara-perkara yang boleh menggerak ke arah kemajuan.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.