PELAKSANAAN terma Contract for Service (CFS) bagi perkhidmatan kawalan keselamatan (PKK) di premis kerajaan bakal menjejaskan 800 syarikat kawalan keselamatan dalam negara ini.

Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) menzahirkan kebimbangan apabila kira-kira 50,000 kakitangan bakal hilang pekerjaan sekiranya kerajaan betul-betul melaksanakan terma tersebut.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Ramli Yusuff, pelaksaan CFS itu akan mengundang pelbagai implikasi yang besar termasuklah melumpuhkan industri membabitkan syarikat kawalan keselamatan.

“Kami berharap agar maklumat yang pihak kami terima mengenai ura-ura kerajaan mahu melaksanakan CFS tidak akan berlaku dan kami mahu ia dibatalkan.

“Bayangkan syarikat kawalan keselamatan yang secara puratanya berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Manakala 99 peratus lagi adalah milikan Bumiputera dan ini akan lumpuh industri ini dan kebanyakan kakitangan pula adalah dalam kalangan B40 akan hilang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehingga hari ini, pihaknya tidak mendapat sebarang maklum balas daripada surat rasmi yang telah dihantar kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Dalam Negeri mengenai status pelaksanaan CFS itu.

“Kami hendak kepastian, kerana pelaksanaan CFS akan menjejaskan ramai pihak dalam industri PKK,” katanya.

Selain daripada itu, Ramli berkata, pelaksanaan CFS ini adalah bertentangan dengan dasar penswastaan yang diperkenalkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu.

“PIKM menganggap khabar angin itu turut akan menjadi rangsangan keretakan dan melumpuhkan peluang syarikat kawalan keselamatan ini dalam memberi perkhidmatan kawalan keselamatan kepada sektor kerajaan,” katanya. – 29 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.