TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Md Farid Md Rafik mendedahkan sebanyak lebih RM14 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan dalam lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara.

Menurutnya sejak setahun lalu, sebanyak RM14,327,865.05 telah dibiayai kerajaan melibatkan 22 lawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sepanjang tempoh berkenaan.

“Perbelanjaan terperinci bagi keseluruhan lawatan rasmi ke luar negara yang dibuat oleh Perdana Menteri bagi tempoh setahun yang lalu adalah berjumlah RM14,327,865.05 (melibatkan 22 lawatan).

“Perbelanjaan ini merangkumi pegawai kerajaan yang turut serta dalam setiap lawatan Perdana Menteri ke luar negara sepertimana yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri,” katanya dalam satu jawapan bertulis di parlimen.

Dalam laporan sebelum ini, kerajaan telah membelanjakan RM12.7 juta bagi lawatan rasmi anggota kabinet ke luar negara dalam tempoh antara Mei dan Disember 2018.

Laporan perbelanjaan itu meliputi 31 perjalanan seperti yang telah tercatat dalam jawapan bertulis terbabit.

Dalam perkembangan lain, pada tahun 2016 Jabatan Perdana Menteri enggan mendedahkan jumlah yang dibelanjakan bagi perjalanan lawatan sambil bekerja perdana menteri pada 2015 ketika itu ialah Datuk Seri Najib Razak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said enggan mendedahkan perbelanjaan dengan memberithau hanya mengambil kira ‘perbelanjaan berhemah’ dalam lawatan rasmi Najib pada tahun 2015 dan 2016. – 29 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.