MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof tidak teragak-agak untuk menyaman seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak.

Menurutnya, tindakan itu akan diambil sekiranya dakwaan pihak yang menabur fitnah ke atas dirinya itu didapati benar.

“Mereka tak serik-serik dan saya kira ini adalah agenda terancang oleh pihak-pihak tertentu.

“Bila tiada orang kutuk Islam mereka sendiri yang kutuk Islam.

“Mereka sendiri yang buat perhimpunan, dia sendiri yang marah kepada menteri, dia sendiri yang maki hamun kerajaan lepas tu dapat tahu benda itu tak betul.

“Bayangkan, orang yang macam ADUN ini muat naik kenyataan yang tiada langsung standard kerana pembohongan dan komen dia pula tentang saya sebagaimana yang dibaca,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Akhbar Mujahid, Siti Zulaikha Zulkifli di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berikutan satu hantaran di Facebook mengenai kes menghina Nabi Muhammad SAW oleh seorang pemegang akaun media sosial berkenaan.

Dalam perkembangan yang sama, Mujahid dengan tegas berkata bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang dinyatakan dalam hantaran Facebook tersebut.

“Perkara itu sengaja dibangkitkan bagi menimbulkan keresahan terhadap umat Islam di negara ini.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan tentang itu dan meletakkan kenyataan di dalam poster telah menambah kerisauan ramai pihak.

“Ada yang mengecam dengan berkata dalam nada permusuhan.

“Saya mengambil itu sebagai tanggungjawab sepenuhnya terhadap mereka yang menaikkan poster itu dan kita telah kenal pasti siapa dia,” katanya. – 29 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.