KONVENSYEN MIC berlangsung beberapa hari lalu, tetapi hasil daripada konvensyen itu bakal membuka lembaran baru dalam sejarah politik tanah air.

Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah terharu apabila Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran bersedia mengadakan kerjasama dengan PAS.

Yang berikut sebahagian tulisan Ridhuan Tee:

Saya hampir menitiskan air mata, apabila Tan Sri Vigneswaran, Presiden MIC dalam konvensyen tahunan MIC minggu lalu berkata, imej “radikal” yang selama ini dilabelkan kepada PAS oleh pengkritik-pengkritik parti itu adalah satu dakwaan yang tidak benar.

Nasihat beliau kepada pemimpin tertinggi MIC supaya berusaha meyakinkan anggotanya bahawa parti mereka tidak akan dipinggirkan dalam perkembangan UMNO yang akan memeterai kerjasama rasmi dengan PAS.

Vigneswaran yang juga Yang DiPertua Dewan Negara turut menjelaskan bahawa MIC mempunyai sejarah yang panjang dalam memahami dan menjalinkan kerjasama dengan orang Melayu dari UMNO. Hari ini, sudah tiba masanya untuk MIC mengambil sikap serupa terhadap PAS.

Sebak rasanya bila Vigneswaran turut berkata, sebagai ketua kaum India, keputusan ini perlu dibuat. Jika bangsa saya mahu hidup secara aman di negara ini, kita kena bekerja dengan PAS. Bukan untuk kebaikan saya, tetapi untuk kebaikan bangsa ini di tahun-tahun akan datang.

Keadaan menjadi semakin terharu, apabila Ketua Pemuda MIC menghulur tangan dengan berkata, “Saya nak jemput, Pemuda PAS kalau nak bekerjasama, bukan semata-mata dengan Pemuda UMNO, kalau nak bekerja dengan akar umbi Pemuda MIC pun kita alu-alukan, asalkan kita saling menghormati hak dan perbezaan kita masing-masing,”.

Membaca laporan konvensyen ini saya menggeleng-geleng kepala, MasyaAllah, inilah peluang dakwah yang begitu besar yang perlu disambut sepenuhnya oleh PAS (UMNO). Maksud dakwah, bukan mengIslamkan mereka, tetapi menunjukkan kebaikan Islam.

Terpulanglah jika mahu kepada Islam atau tidak. Begitu juga agama lain, jika mahu menunjukkan kebaikan yang sama. Silakan… Pokoknya, perlu ada saling hormat menghormati dalam menguruskan perbezaan.

Percayalah wahai MIC (juga MCA) khusus dan orang India (Cina) umumnya, setakat yang saya tahu, Islam yang menjadi teras perjuangan PAS tidak akan menganiaya atau meminggirkan bukan Islam.

Jika PAS atau UMNO melakukan sedemikian, bermakna, mereka telah terkeluar daripada landasan Islam yang sebenar. PAS dan UMNO tidak akan bertahan lama hingga hari ini jika bertindak zalim kepada bukan Islam.

Jika tidak percaya, datanglah ke Kelantan dan Terengganu. Lihatlah bagaimana minoriti Cina, Siam dan India dilayan dengan baik oleh PAS. Patung-patung Buddha, lebih tinggi daripada menara masjid dan surau.

Walaupun pada saya, mereka (bukan Islam) tidak layak mendapatkan kenikmatan sedemikian rupa dengan bilangan yang sangat kecil. Tetapi itulah hakikat Islam yang telah terpancar di Kelantan, termasuk Terengganu.

Bandar Cina (China Town) tidak ada siapa pun yang usik di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu. Mereka boleh beramal dengan bebas mengikut budaya bangsa, selagi tidak mengganggu orang Islam.

Begitu juga dengan taburan penduduk mengikut kawasan pilihan raya sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, orang India, tidak ada satu tempat pun mereka menjadi majoriti.

Tetapi tetap diberi tempat untuk bertanding dan menang. Kuota menteri, timbalan menteri sentisa menunggu. Siapa yang berikan kemenangan itu, jika bukan orang Melayu Islam.

Dalam maksud, keadilan itu bukan seorang sebiji, bukan fair and square, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Jika keadilan seorang sebiji, fair and square, sudah tentu minoriti bukan Islam tidak layak mendapatkannya kerana bilangan mereka sedikit.

Jika tidak percaya, tanyalah Presiden Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) N. Balasubramaniam. Saya amat mengenali beliau.

Ridhuan turut menyentuh tentang parti PAS dalam politik tanah air:

PAS, walaupun tidak menang, markas dan bilik gerakan mereka terang-benderang. Saya bukan terlalu memuji PAS.

Pujian ini bukan baharu tetapi sudah lama. Ini dibuktikan oleh pujian-pujian pemimpin-pemimpin UMNO kebelakangan ini, bahawa mereka perlu belajar daripada PAS, yang boleh bertahan selama lebih 60 tahun sebagai pembangkang.

Begitu kesetiaan dan walak ahli dan pemimpin PAS yang tidak berbelah bahagi. Sanggup berhujan dan berpanas, namun menyerah tidak sama sekali.

Pemimpin-pemimpin PAS jarang yang melompat parti, kecuali pembersihan yang telah dibuat sebelum ini dengan wujudnya serpihan PAS iaitu PAN.

Orang PAS sudah dibiasakan hidup ‘susah’. Matlamat hidup mereka adalah mencari reda Allah atau mardhatillah. Mereka akan lakukan apa sahaja untuk memenangkan Islam, meskipun bekerjasama dengan bukan Islam.

Sama ada benar atau tidak, berjaya atau tidak, itulah kejayaan PAS selama ini dan begitu juga dalam proses mentarbiyah ahli-ahlinya. – 29 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.