PROSEDUR Operasi Standard (SOP) akan dikaji semula oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan setiap permohonan dapat dipertimbangkan secara lebih teliti, adil dan cepat.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, SOP baharu yang dirangka kementeriannya mempunyai garis panduan yang lebih jelas dalam pengendalian setiap permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A.

“Langkah itu bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat mengambil kira faktor kebajikan anak yang memohon taraf kewarganegaraan.

“Ia bagi memendekkan tempoh masa daripada tiga tahun kepada paling lama hanya satu tahun.

“Saya amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh mereka yang terpaksa menjalani kehidupan tanpa status warganegara untuk sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain daripada itu, Muhyidin menegaskan tidak ada jalan penyelesaian pintu belakang dalam meluluskan permohonan kewarganegaraan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Dalam membuat keputusan sama ada meluluskan atau tidak meluluskan sesuatu permohonan, saya dibantu oleh para pegawai yang profesional dalam menjalankan tugas.

“Mereka akan meneliti dengan rapi setiap satu permohonan yang disertakan juga dokumen pembuktian.

“KDN dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani isu pengenalan diri dan kewarganegaraan terutamanya di Sarawak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, menteri-menteri PH baru-baru ini telah mengadakan perjumpaan dengan Muhyidin bagi mempercepatkan status dan proses permohonan kewarganegaraan ini dilaksanakan.

Persoalannya, adakah SOP ini dikaji semula kerana desakan menteri-menteri tersebut? – 29 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.