POLIS menolak punca pencemaran diesel di Sungai Selangor disebabkan sabotaj, sebaliknya akibat kecuaian.

Kenyataan polis ini mematahkan dakwaan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang mendakwa tumpahan diesel di Selangor adalah perbuatan sabotaj.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, hasil siasatan membuktikan ianya akibat kecuaian syarikat yang dilantik kerajaan negeri untuk membersihkan sungai tersebut.

Pekerja yang dilantik telah melakukan pertumpahan diesel secara tidak sengaja semasa menjalankan tugas mereka.

Pihak polis juga akan menyiasat laporan palsu yang dibuat sebelum ini yang memungkinkan untuk melindungi kepentingan syarikat tertentu.

“Siasatan masih berjalan dan dalam tempoh beberapa hari kita akan memperoleh laporan penuh untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

“Kami menangani kes ini dengan serius malah sebaik mengetahui kejadian itu, saya terus menghubungi Ketua Polis Selangor (Datuk Noor Azam Jamaludin) untuk ketuai siasatan ini kerana ia membabitkan lima juta pengguna di Selangor,” katanya.

Ketua Polis Negara juga menegaskan bahawa isu ini tidak boleh dipermainkan sewenang-wenangnya kerana ia melibatkan kesihatan rakyat.

“Kita tak main-main dalam isu ini, kita kena tunjuk apa perkembangan yang berlaku di Sungai Kim-Kim menyedarkan kita,” katanya.

Terdahulu, Amirudin mengadakan sidang media dan bersungguh-sungguh menyalahkan pihak lain yang didakwa cuba mensabotaj pentadbirannya.

Amirudin mendakwa, beliau sendiri meninjau ke lokasi pontun pam pasir terbabit yang berada di tengah sungai.

“Sebab itu kita tidak boleh menafikan atau menolak ada perbuatan sabotaj atau kecuaian dalam kes ini. Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) juga telah buat laporan polis,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mendakwa terdapat cubaan pencemaran air di negeri ini ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih lalu.

Pencemaran yang menimbulkan kegusaran rakyat Selangor itu memaksa empat loji rawatan air (LRA) dihentikan operasinya menyebabkan beberapa daerah di Selangor terjejas bekalan air. – NTHQiBORD, 29 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.