TINDAKAN Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali mengeluarkan suatu kenyataan hari ini dilihat seolah-olah mencabar Lembaga Disiplin parti.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Azmin menyatakan pendiriannya supaya Tun Dr Mahathir kekal menjadi Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi menyatakan,“mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang menegaskan pendirian PAS dan UMNO untuk memberikan dukungan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal”

Menurut penganalisis politik, Dr Kamarul Yusoff tindakan Azmin itu bertentangan dengan ketetapan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR pada 24 Februari 2019.

Ketetapan tersebut menyebut “PKR berpegang teguh kepada persetujuan yang telah dicapai dan diumumkan pada 7 Januari 2018, di mana… Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas tempoh dua tahun”.

Bagi Kamarul, sebagai Timbalan Presiden adalah tidak munasabah Azmin tidak mengetahui ketetapan tersebut.

“Selaku Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan semua Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR pastilah terikat dengan ketetapan pada 24 Februari 2019 ini,” kata Kamarul.

Oleh itu, tindakan Azmin membuat kenyataan rasmi yang tidak mendukung malah menentang keputusan rasmi Majlis Pimpinan Pusat PKR pastilah merupakan perlanggaran kepada disiplin parti yang memungkinkan dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti.

“Soalnya sekarang ialah beranikah PKR menghadapkan Azmin Ali ke Lembaga Disiplin parti?” soal Kamarul.

Dalam perkembangan lain, Azmin tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR semalam.

Turut tidak termasuklah Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita PKR, Haniza Talha dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor yang juga Menteri Besar, Amirudin Shari.

Bagitu juga ketika pemukiman PKR di resort Lexis Hibiscus, Port Dickson beberapa minggu lalu, Azmin dan beberapa pimpinan kanan pro-Azmin turut tidak hadir. – 29 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.