KUASA Melayu kini semakin mengecil akibat daripada perpecahan yang berlaku dalam kalangan rakyat dan pemimpin Melayu itu sendiri.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, soal perpecahan ini bukan perkara kecil kerana ia perlu diberi perhatian yang sewajarnya.

Oleh sebab itu, beliau secara peribadi bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bahawa Melayu perlu bersatu dalam mengukuhkan kuasa bangsa itu.

“Kuasa Melayu dalam Parlimen itu sendiri semakin sedikit dan mengecil.

“Dalam satu perspektif, ia adalah satu kenyataan yang betul dan diperlukan buat masa ini.

“Mungkin Tun M sendiri menyedari hasil perpecahan yang berlaku sebab itu beliau mengajak Melayu berpadu dan bersatu dan saya bersetuju dengan kenyataan itu.

“Perpecahan ini kalau kita lihat bukan sahaja di Parlimen malah, dalam kalangan anak-anak muda yang mula memberi kesan negatif.

“Tetapi ajakan Tun M itu kita kena lihat juga atas asas apa, adakah untuk mengukuhkan kepentingan bersama atau mendokong apa yang DAP laksana,” katanya pada program bual bicara bersama Nothing To Hide baru-baru ini.

Menurut Fathul Bari, macam UMNO sendiri, parti ini mempunyai pendiriannya sendiri dan secara terbuka menerima kerjasama parti lain untuk eratkan perpaduan tetapi parti itu bukanlah daripada DAP.

“Parti ini terbuka kepada penyatuan Ummah yang memfokuskan kepada orang Melayu Islam tetapi parti ini juga beri perhatian kepada kaum lain di dalam negara.

“Penyatuan ummah ini orang fikir ia khas untuk Melayu sebab guna perkataan Arab dan akan buang kaum lain, itu adalah tidak benar sebab penyatuan ini adalah menyeluruh,” katanya.

Selain itu, Fathul Bari berkata, rakyat perlu sedar kepentingan Melayu dan Bumiputera semakin terhakis serta perlu bijak menilai bahawa golongan DAP sedang mengambil kesempatan terhadap perpecahan ini.

“Golongan DAP sedang mengambil kesempatan samada dalam sudut pendidikan, kewarganegaraan dan yang terbaru sudut pemikiran idealisme, isu-isu liberal, LGBT dan sebagainya.

“Itu antara perkara yang dilihat sedang berlaku secara terang-terangan dan kita lihat ada gerakan serius yang mendokong perkara itu,” katanya. – NTHQiBord, 30 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.