PADA 29 Julai lalu, tiba-tiba Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali menyuarakan sokongannya supaya Tun Dr Mahathir Mohamad terus kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal.

Sedangkan ramai yang tahu bahawa sebelum ini, pimpinan PKR sebulat suara mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri ke-8.

Selepas tularnya video seks yang dikaitkan dengan Azmin, pertembungan terbuka antara penyokong Anwar dan Azmin berlaku.

Rentetan daripada itulah akhirnya kem Azmin secara terbuka mahu Tun Mahathir terus kekal sebagai PM.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Azmin tahu bahawa dia kini tidak mungkin berpeluang menjadi PM.

“Azmin tahu bahawa dia tidak mungkin menggantikan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri kerana kes video yang membabitkan dirinya.”

“Walaupun Tun Mahathir tidak mengatakan isu ini bukan masalah moral tetapi isu politik, tetapi saya percaya rakyat Malaysia susah untuk menerima Timbalan Perdana Menteri atau PM yang terkait dengan isu moral,” kata Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera.

Jadi, bagi Azmin alang-alang peluangnya untuk menjadi PM sudah disekat, pada masa yang sama dia juga mahu memastikan Anwar juga tidak boleh menjadi PM

Biarlah kedua-duanya menang jadi arang, kalah jadi abu.

Perubahan sokongan beberapa pengikut setia Anwar dahulunya kepada Azmin turut menjadi tandatanya.

“Mereka memang asalnya orang Anwar, tetapi sewaktu Azmin berlawan dengan Rafizi, mereka menyokong Azmin.”

“Saya tidak tahu sebab-sebab kenapa mereka berpindah sokong kepada Azmin. Namun saya difahamkan, Azmin terlibat dalam cadangan pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri. Mungkin itu sebabnya,” kata Ismail.

Perubahan sokongan kem Azmin kepada Tun Mahathir ini menandakan suatu lagi pergolakan besar dalam PKR.

Sebelumnya timbul desus-desas mengatakan Azmin akan keluar PKR dan menyertai parti lain, namun dinafikan oleh kem beliau.

Jika pergolakan dalaman PKR ini masih tidak selesai, tidak mustahil pembubaran Parlimen adalah jalan terbaik. – 31 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.