PENDIRIAN Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar Tun Dr Mahathir terus berkhidmat sehingga tamat penggal disokong oleh Naib Presiden PAS, Nik Mohd Amar Abdullah.

“Orang lain mungkin akan menyebabkan berlaku kerajaan yang tidak stabil, ia akan memberi kesan kepada politik dan juga ekonomi negara.

“Bukan saja-saja sokong Dr Mahathir, tetapi kita melihat beberapa aspek yang lain,” kata Nik Amar.

Nik Amar berpandangan demikian kerana berpendapat gabungan Pakatan Harapan begitu longgar, jadi mereka memerlukan seorang ketua yang kuat.

“Gabungan PH ini bersifat longgar. Mereka kena ada seorang ketua yang kuat.”

“Jadi kita nampak setakat ini ketua yang kuat adalah Dr Mahathir. Dengan pengalamannya, sikapnya, jadi dia saja pada pandangan kita boleh mengawal dan memastikan kestabilan kerajaan,” katanya.

Pergolakan yang melanda PKR ketika ini boleh mengakibatkan kesan lebih buruk kepada kerajaan DAP-PH.

Apatah lagi, PKR memiliki jumlah kerusi terbanyak dalam gabungan ini iaitu 50 kerusi.

Pergolakan PKR ini juga dikaitkan dengan calon pengganti Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Ketika ini, mengikut perjanjian tidak rasmi, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggantikan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-8.

Namun, baru-baru ini, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali menyatakan pendiriannya menyokong Tun Mahathir dikekalkan sehingga tamat penggal.

Pendirian Azmin itu sebagai menyokong pendirian PAS dan UMNO sebelum ini.

Tindakan Azmin itu sebagai serangan balasnya kepada Anwar dalam isu penularan video seks.

Selain Azmin, ramai pemimpin kanan PKR yang dahulunya setia kepada Anwar, kini telah berpaling tadah dan mahu Tun Mahathir kekal menjadi PM. – 31 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.