PERGERAKAN Pemuda UMNO Malaysia mendesak supaya Paul Yong Choo Kiong dihadapkan ke mahkamah agar keadilan dapat ditegakkan dan seterusnya membersihkan nama baik Malaysia, lapor UMNO-Online.

Exconya, Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, sehingga hari ini, Paul Yong masih tidak lagi didakwa serta menjalankan tugas seperti biasa dan hal ini amat mengecewakan serta memalukan.

Menurut Najmil, kes yang membabitkan Paul Yong ini amat serius dan memalukan negara.

Bahkan kes ini mendapat perhatian Pesuruhjaya Indonesia, Thaufiek Zulbahary.

Tentunya pihak Indonesia berharap tidak ada sebarang kekebalan undang-undang terhadap suspek dan perlu diheret ke muka pengadilan.

Pada 9 Julai lalu, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang pembantu rumah wanita Indonesia berusia 23 tahun terhadap Paul Yong.

Wanita tersebut mendakwa dicabul dan rogol oleh Paul Yong dalam dua kejadian berasingan.

Dalam perkembangan lain, media melaporkan pada 16 Julai, Ketua Polis Perak telah menghantar kertas siasatan kes rogol ini kepada Pengarah Pendakwaan Negeri pada 14 Julai lagi.

Beliau juga menyebut polis berjaya melengkapkan siasatan ke atas Paul Yong dalam tempoh 24 jam sahaja menandakan kes ini adalah satu kes mudah yang ‘clear-cut’.

Pada 26 Julai lalu, Ketua Polis Perak sendiri mengakui bahawa kertas siasatan kes rogol yang dikemukakan kepada Pendakwa Raya telah dikembalikan kepada pihak polis bagi mendapatkan laporan daripada pakar perubatan dan Jabatan Kimia.

Namun, yang menjadi persoalan kini ialah mengapa terlalu lama laporan daripada pakar perubatan dan jabatan kimia ini disiapkan?

Selepas hampir dua minggu, masih tiada sebarang tindakan lanjut dilakukan. Dibimbangi ada campurtangan politik sehingga mengganggu tugas polis.

Akhirnya, bukan sahaja menjejaskan intergriti polis, malah nama baik Malaysia. – 31 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.