LANGKAH Kementerian Pendidikan memasukkan tulisan jawi dan seni khat dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu di semua sekolah dibantah oleh Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Dong Zong dan Jiao Zong memberi alasan seni khat dan tulisan jawi itu tidak sesuai kerana tidak mempunyai hubungan secara langsung, lapor Free Malaysia Today.

Kementerian Pendidikan memasukkannya sebagai sebahagian sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun depan.

Kedua-dua persatuan itu berpendapat pengenalan seni khat itu tidak mungkin mampu meningkatkan penguasaan bahasa Melayu setiap murid.

Dalam pada itu Dong Zong dan Jiao Zong mendakwa sudah menggerakkan beberapa kumpulan lain termasuk mewakili sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) untuk membantah keputusan berkenaan.

Walau bagaimanapun, mereka berpendapat seni khat itu sesuai dimasukkan ke dalam mata pelajaran Pendidikan seni.

Dalam perkembangan lain, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berbeza pendapat dengan Dong Zong dan Jiao Zong.

Bagi NUTP tiada masalah tentang pengenalan seni khat itu.

Perkara tersebut tidak wajar dipolitikkan.

“Kami berpendirian apa sahaja yang mendidik dan bukan keagamaan boleh diterima. Khat cuma seni tulisan, dan pendedahan padanya tidak bermakna kandungan keagamaan diajar kepada para pelajar kita,” kata Setiausaha Agung Harry Tan.

Beliau berkata ia sama seperti mempelajari tulisan sambung sebagai sebahagian sukatan mata pelajaran Bahasa Inggeris.

“Di sekolah-sekolah, kita juga ada seni tulisan Cina, tapi itu tidak bermakna para pelajar beragama Islam diajar agama lain,” tambahnya.

Kedua-dua persatuan ini perlu bersikap di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Tidak semua perkara mahu dipolitikkan dan janganlah menjaga kaum sendiri sehingga tidak menghormati perlembagaan negara. – 31 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.