ISU peruntukan dana untuk masyarakat India sebanyak RM100 juta yang diterajui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy semakin panas.

Lapor MalaysiaGazette.com, dana sebanyak RM 31,500,066 yang telah dikeluarkan dalam dua fasa berbeza dipercayai tidak sampai secara telus kepada yang benar-benar memerlukan.

Dana tersebut sepatutnya disalurkan kepada kumpulan marhaen yang memerlukan bantuan perniagaan, bukan syarikat atau individu berkepentingan.

Antara penerima dana itu adalah sebuah syarikat yang baru sahaja ditubuhkan dan telah menerima peruntukan sebanyak RM700,000.

Difahamkan, syarikat itu mengemukakan permohonan bagi latihan sijil profesional kepada 100 graduan India dengan purata perbelanjaan untuk seorang pelajar sebanyak RM7,000.

Apa yang mengejutkan siasatan sumber melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati syarikat itu ditubuhkan hanya pada 14 Januari lepas!

Bagaimanapun, kini ia dilakukan dengan terbuka dan Waytha masih mempertahankannya dan menganggap ia semuanya telah dilakukan dengan penuh telus.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy yang juga dari Pakatan Harapan membuat ‘bising’ berkenaan dana RM100 juta tersebut.

Ramasamy berang dengan jawapan Waytha yang memberitahu media bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu boleh pada bila-bila masa sahaja mengangkat telefon dan menghubunginya untuk mengetahui tentang peruntukan itu.

“Peruntukan sebanyak RM100 juta itu bukan isu peribadi antara saya dan Waytha sebaliknya perkara berkaitan dengan komuniti India di negara ini.

“Ini bukan soal saya membuat panggilan telefon secara peribadi kepadanya, sebenarnya dengan memberi cadangan sedemikian oleh beliau menunjukkan bagaimana Waytha ‘buta’ dengan tuntutan komuniti ini,” tegasnya. – NTHQiBORD, 31 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.