PIHAK berkuasa Beijing melarang sebarang penggunaan simbol serta tulisan Arab yang tertera di logo halal di setiap restoran di ibu negara China itu.

Langkah itu diambil bagi menerapkan budaya masyarakat Cina dalam kalangan populasi Islam di negara itu.

Sehubungan itu, pihak berkuasa mengarahkan restoran halal dan gerai makanan menurunkan simbol serta tulisan Arab yang berkaitan dengan Islam.

Perkara itu disahkan oleh pekerja di 11 restoran dan kedai yang menjual produk halal di Beijing mendakwa pegawai kerajaan telah mengeluarkan arahan itu baru-baru ini.

“Pegawai kerajaan meminta saya menutup tanda ‘halal’ dalam bahasa Arab yang diletakkan di kedai ini.

“Mereka dakwa ia ialah budaya asing dan mereka sepatutnya lebih banyak mempamerkan budaya Cina,” kata pengurus sebuah restoran mi.

Difahamkan, kempen terhadap tulisan Arab dan imej Islam menandakan fasa baharu program yang dilancarkan kerajaan yang telah mendapat momentum sejak 2016 bertujuan untuk memastikan agama selaras dengan arus perdana budaya Cina.

Kempen untuk menerapkan ideologi Parti Komunis itu termasuk mencabut kubah ala Timur Tengah pada semua masjid di seluruh negara.

Bukan hanya agama Islam berdepan kawalan ketat.

Pihak berkuasa juga menutup kebanyakan gereja dan merobohkan rumah ibadat itu yang didakwa melanggar undang-undang oleh kerajaan.

Nasib penduduk Islam di negara itu mula mendapat perhatian sejak kejadian pertempuran antara etnik Uighur dan penduduk Han di Xinjiang pada 2009.

Sebagai tindak balas, China telah melancarkan tindakan kekerasan menggunakan alasan untuk memerangi ekstremisme di wilayah autonomi tersebut.

Kini, polisi kerajaan di bawah pemerintahan Presiden Xi Jinping termasuk penahanan etnik minoriti Islam dan pengawasan ketat ke atas golongan itu berdepan kritikan negara Barat dan kumpulan hak asasi manusia. – AGENSI, 1 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.