BAYARAN sebanyak RM20 diberikan kepada peserta acara pertemuan dengan menteri ekonomi Azmin Ali yang dijadual di Terengganu hari ini.

Itu yang terpapar pada surat pekeliling yang tular di media sosial.

Program tersebut merupakan program silaturahim Azmin bersama pekebun kecil RISDA Negeri Terengganu yang akan berlangsung di Dewan Konvokesyen, Taman Tamadun Islam, Terengganu.

Namun, Felcra Terengganu mempertahankan bayaran RM20 tersebut dan berkata ia amalan biasa yang diamalkan sejak dulu bagi ‘mengurangkan beban pekebun kecil’.

“Bukan sahaja program menteri, kami bayar elaun kepada semua program yang disertai oleh Felcra.

“Ini adalah pampasan atau imbuhan kepada peserta yang hadir ke majlis Felcra kerana mereka hilang pendapatan pada hari tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun difahamkan program itu telah dibatalkan di saat-saat akhir sehari sebelum program (semalam).

Berikutan perkembangan itu, PKR Terengganu mengadakan sidang media khas di sini hari ini diketuai Pengerusinya, Azan Ismail lantas menyifatkan Azmin sebagai melampau kerana membuat keputusan tergesa-gesa sehingga menyusahkan pihak lain.

Menurut Azan, Azmin bukan sahaja tergesa-gesa mengadakan programnya ke Terengganu yang didakwanya mengikut program Anwar malahan juga begitu mudah bertindak membatalkan program itu sejurus pembatalan program Anwar.

Azan seterusnya berkata, pihaknya terkilan dan kecewa dengan pembatalan mengejut program yang membayar RM20 kepada pekebun tersebut kerana telah menjejaskan segala persiapan melibatkan agensi-agensi terutama FELDA, FELCRA dan RISDA. – NTHQiBORD, 1 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.