SATU perhimpunan aman bagi menuntut keadilan untuk arwah Muhammad Adib Mohd Kassim akan diadakan di Masjid Kampung Baru, esok.

Himpunan itu dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh Malaysia bagi mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas meletak jawatan kerana gagal menangai isu kematian Muhammad Adib dengan baik.

Antara NGO yang akan menyertai perhimpunan itu adalah Gagasan Tiga (G3), Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Kelab Pendokong Penyatuan Ummah Malaysia (KPPUM),  Pertubuhan Majlis Permuafakatan Ayahanda Malaysia (PERMAS),  Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Gerakan Masyarakat Malaysia (GERAS) dan beberapa lagi pertubuhan.

Kalangan pemimpin NGO yang akan berucap pada perhimpunan itu termasuk Pengerusi G3, Dato’ Azwanddin Hamzah yang juga Presiden JMM, Ustaz Husam Baderudin merangkap Presiden KPPUM dan Timbalan Presiden G3, Amran Ahmad Nor.

Perhimpunan ini diadakan kira-kira seminggu selepas inkues kematian Muhammad Adib berakhir pada 24 Julai lalu selepas Mahkamah Koroner Shah Alam mendapati menetapkan tiada lagi saksi akan dipanggil bagi memberi keterangan.

Inkues itu berlangsung selama kira-kira lima bulan dengan penuh kontroversi apabila Tommy didakwa mencampuri proses keadilan untuk Muhammad Adib.

Antaranya termasuk keputusan Tommy mengadakan inkues berbanding menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi membela kematian Muhammad Adib.

Selain itu, keputusan Tommy memecat peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Syazlin Mansor juga mencetuskan kemarahan rakyat.

Muhammad Adib meninggal dunia akibat kecederaan dipercayai dipukul perusuh dalam insiden rusuhan kuil di Seafield, Subang Jaya pada November tahun lalu. – NTHQiBord, 1 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.