INDONESIA mengisytiharkan darurat di enam wilayah di kepulauan Sumatera dan wilayah Kalimantan di Borneo akibat kebakaran.

Perisytiharan itu dibuat selepas mengesan 84 titik panas.

Lebih 9,000 anggota dari Badan Pencegahan Bencana Kebangsaan, pihak tentera, polis, kumpulan alam sekitar dan syarikat swasta, termasuk Asia Pulp & Paper Co telah ditugaskan untuk mengawal kebakaran.

Dianggarkan 11.8 juta hektar tanah di seluruh kepulauan ini mengalami musim kering yang panjang dan luar biasa tahun ini.

Keadaan itu bakal menjejaskan kehidupan sebanyak 48.5 juta orang, menurut Kementerian Koordinator Pembangunan dan Kebudayaan.

Kebakaran kali ini mengimbau kembali kejadian pada tahun 2015 apabila jerebu daripada pembakaran untuk membersihkan ladang kelapa sawit tersebar sehingga ke Singapura, sebahagian Indonesia, Malaysia dan Thailand selama hampir sebulan.

Riau, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Selatan dan Kalimantan Tengah merupakan kawasan pengeluar utama minyak sawit dan getah.

Kebakaran hutan dan pembakaran haram untuk membersihkan tanah untuk ladang kelapa sawit dan kertas sering berulang.

Namun, pihak berkuasa Indonesia telah memberi amaran tentang risiko kepada tanaman padi akibat cuaca kering yang dijangka berlangsung hingga Oktober.

Akibat kekerapan berlakunya kebakaran terbuka ini, Presiden Joko Widodo memerintahkan moratorium permit baru untuk membersihkan hutan dan tanah gambut untuk penanaman kelapa sawit.

Riau, salah satu rantau penanaman minyak sawit utama di negara ini, adalah wilayah yang paling teruk terjejas tahun ini dengan kebakaran yang melibatkan sekitar 28,000 hektar tanah.

Agensi itu mengesan 27 titik panas di Riau, 26 di Jambi, 14 di Kalimantan Tengah, 12 di Kalimantan Barat dan lima di Sumatra Selatan pada Isnin lalu. Ia telah mengerahkan 33 helikopter untuk pengeboman air di Riau, Sumatera Selatan, Barat dan Kalimantan Tengah. – 1 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.