ISRAEL meluaskan penjajahan di wilayah Palestin apabila meluluskan pembinaan 700 buah rumah di Kawasan C di Tebing Barat.

Kelulusan oleh menteri rejim Israel itu dibuat menjelang lawatan penasihat kanan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump iaitu Jared Kushner ke Israel minggu ini.

Namun, tidak jelas sama ada kelulusan diberikan kepada rakyat Palestin itu melibatkan pembinaan baharu atau membabitkan kerja baik pulih kediaman sedia ada.

Pada masa sama, rejim Zionis turut meluluskan pembinaan 6,000 unit rumah bagi peneroka haram Yahudi.

Kawasan C menyumbang kepada lebih 60 peratus kawasan di Tebing Barat yang dikawal sepenuhnya Israel.

Israel sebelum ini enggan mengeluarkan sebarang permit kepada penduduk Palestin untuk membina rumah di kawasan tersebut.

Keputusan itu juga dilihat sebagai helah bagi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk meyakinkan Kushner bahawa beliau sedang berusaha melaksanakan pelan damai yang ditunggu-tunggu menantu Trump tersebut.

Minggu lalu, Israel mengundang kecaman masyarakat antarabangsa apabila bertindak memusnahkan 70 kediaman Palestin di kawasan A, B dan C.

Perjanjian Oslo yang dipersetujui bersama Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pada 1993 membahagikan wilayah diduduki kepada bahagian A dan B di bawah pentadbiran Palestin manakala kawasan C dikhususkan untuk jagaan Israel. – AGENSI, 1 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.