BEKAS pegawai AmBank, Joanna Yu ‘mengajar’ Low Taek Jho atau Jho Low dan Nik Faisal Ariff Kamil cara untuk memanipulasi akaun bank Datuk Seri Najib Razak.

Berdasarkan perbualan menerusi BlackBerry Messenger (BBM), Joanna memberi tip kepada Jho Low cara bagi mengelak melanggar sistem perundangan perbankan bagi memastikan ahli perniagaan kontroversi itu menggunakan akaun Najib tanpa sebarang kesalahan.

Tindakan Joanna itu bagi mengelakkan Najib mengetahui pergerakan mereka menggunakan akaun bekas perdana menteri itu dan mengelak daripada pengetahuan Bank Negara Malaysia (BNM).

Sebagai contoh bukti perbualan yang didedahkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, Joanna memberitahu Jho Low agar tidak menggunakan mesin deposit wang (CDM) setiap kali menambah wang ke akaun Najib bagi memastikan cek Ahli Parlimen Pekan itu tidak ditendang.

Dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd sebelum ini, Joanna mengakui Jho Low akan menambah wang ke akaun Najib bagi memastikan baki duit sentiasa cukup bagi mengelakkan cek bekas menteri kewangan itu ditendang.

Malah dalam perbicaraan semalam, Joanna juga mengakui beliau mungkin menambah RM55,000 ke akaun Najib bagi mengelakkan perkara itu berlaku.

Selain itu, Joanna memberitahu cara untuk memindahkan wang berjumlah RM100 juta dari akaun luar negara bagi mengelakkan dikesan BNM atau menyalahi undang-undang penggubahan wang haram.

Saksi ke-54 itu dalam perbualannya menerusi BBM berkata, Jho Low perlu membuka dua akaun bagi memindahkan wang berjumlah RM100 juta dengan membahagikan wang tersebut ke kedua-dua akaun yang dibuka.

Joanna turut mengajar Nik Fasial yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International tentang cara menyediakan surat arahan pemindahan wang bagi memastikan pihak bank memprosesnya tanpa halangan.

Bagaimanapun ketika sesi soal balas dengan peguam bela, Joanna menafikan peranannya mengajar kedua-dua individu dikehendaki tersebut untuk memanipulasi akaun Najib.

Malah selepas diasak, Joanna dikatakan hampir menangis dan pihak pendakwaan membantah soalan daripada peguam bela mengenai tindakannya memindahkan wang sendiri ke akaun Najib.

Ini kerana peguam Najib berkata, tindakannya itu ada unsur-unsur jenayah.

Namun Joanna memberi alasan beliau tidak mahu air muka Najib jatuh sekiranya cek bekas perdana menteri itu ditendang.

Jika difikirkan, alasan itu tidak masuk akal kerana Joanna hanya merupakan pegawai bank dan bertanggungjawab memberitahu kepada pemilik akaun jika baki wang mereka tidak mencukupi untuk sebarang transaksi.

Jadi kenapa beliau perlu mengambil tanggungjawab itu seolah-olah berkhidmat untuk Najib?

Sebelum ini, perbualan BBM juga mendedahkan komplot Joanna dan Jho Low untuk mengelakkan Najib mengetahui mengenai dokumen perbankan termasuk penyata kewangan kad kredit dan akaunnya. – NTHQiBord, 1 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.