MENGIKUT laporan media, tulisan khat atau kaligrafi jawi akan dimasukkan ke dalam buku teks mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk pelajar Tahun Empat mulai tahun depan sebagai sebahagian daripada perancangan kerajaan pada 2016.

Dinyatakan juga bahawa daripada 162 muka surat buku teks mata pelajaran Bahasa Malaysia hanya enam muka surat sahaja yang akan didedikasikan kepada tulisan khat dengan murid hanya akan diberi lima ungkapan untuk latihan tulisan khat.

Media juga melaporkan bahawa murid tidak perlu menjalani penilaian atau peperiksaan atas hasil kerja tulisan khat mereka, malah mereka juga dikatakan tidak perlu membeli apa-apa pena khat istimewa untuk latihan tulisan khat ini.

Nampak mudah dan tidak membebankan pun cadangan ini, malah tiada sebarang konotasi keagamaan pun seperti juga kaligrafi cina yang dipelajari dalam konteks meraikan kepelbagaian budaya dan bahasa yang ada di Malaysia.

Malangnya, reaksi yang diberikan ke atas pengumuman kecil ini terlalu besar, seolah-olah pengenalan tulisan khat ini akan mengubah terus sukatan pelajaran Bahasa Malaysia dan seolah-olah ia akan membawa impak besar kepada negara.

Tidak mengejutkan sebenarnya bila para pemimpin Dong Jiao Zong (Dong Zong dan Jiao Zong) menjadi antara yang paling lantang menentangnya kerana tujuan penubuhan mereka itu sendiri adalah untuk memelihara kebudayaan dan pendidikan Cina.

Bagaimanapun, apabila sekumpulan 138 pemimpin akar umbi DAP, termasuk 13 ADUN-nya, membuat kenyataan bersama bagi mendesak ahli-ahli Kabinet dari DAP menentangnya maka ini bercanggah dengan sifat parti itu yang didakwa berbilang kaum.

Apatah lagi bila mereka mendakwa bahawa pengenalan tulisan khat ini adalah satu cubaan untuk menginstitusikan dan mempolitikkan tulisan jawi, dan bahawa ini kononnya akan mendorong kepada pengenalan tulisan jawi di semua peringkat.

Kata mereka, jika tulisan jawi diinstitusikan maka akan robeklah fabrik sosial Malaysia.

Kenapa takut benar nampaknya para pemimpin akar umbi DAP ini kepada tulisan jawi? – 1 Ogos 2019

DR KAMARUL YUSOFF
Penganalisis Politik

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.