KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengesahkan kerajaan negeri itu akan menghantar surat rasmi kepada Kerajaan Pusat hari ini.

Menurut Kon Yeow, surat yang dihantar itu adalah bertujuan untuk merayu dana berjumlah RM10 bilion bagi membiayai sebahagian projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP) negeri tersebut.

Jelasnya, surat yang dihantar itu diteliti dan disemak terlebih dahulu oleh urus setia kerajaan negeri sebelum ianya diserahkan untuk perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dijangka hari ini dapat dihantar surat rayuan, beberapa hari lepas urus setia telah memasukkan banyak fakta mengenai projek ini.

“Kandungan fakta dalam surat ini adalah gambaran penuh mengenai projek dengan bahasa yang bersifat rayuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu PIP merupakan projek mega yang dirancang kerajaan negeri itu melibatkan beberapa pembangunan termasuklah pembinaan tiga pulau buatan di selatan perairan dan terowong dasar laut negeri tersebut.

“Projek itu bagaimanapun dibantah pelbagai pihak kerana disifatkan terlalu mahal.

“Ia turut memberi impak negatif kepada penduduk khususnya komuniti nelayan selain risiko kemusnahan besar alam sekitar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow sebelum ini pernah berharap pembangunan tersebut akan mendapat pembiayaan penuh daripada Kerajaan Pusat.

“Sekurang-kurangnya dua projek keutamaan di bawah PIP dapat pembiayaan daripada kerajaan pusat iaitu pembinaan transit aliran ringan (LRT) dan projek lebuh raya Pan Island Link.

“Kedua-dua projek itu dijangka menelan kos sebanyak RM20 bilion,” katanya. – 1 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.