LIM Kit Siang menyokong supaya penceramah bebas antarabangsa Dr Zakir Naik untuk meninggalkan Malaysia secara sukarela.

Pemimpin parti DAP itu memetik cadangan penulis Anas Zubedy yang mendakwa kehadiran penceramah itu bakal memberi kesan negatif kepada kestabilan negara.

Tulisan Anas itu memberi gambaran seolah-olah kehadiran Zakir boleh menimbulkan ketegangan dalam keluarga, persepsi bukan Islam terhadap Islam, perbandingan agama yang tidak sesuai di negara ini serta melambatkan pemulihan politik dalam negara.

“Anas sangat percaya bahawa sebagai orang yang mendedikasikan hidupnya dalam bidang dakwah, salah satu matlamat utama Zakir adalah untuk menarik bukan Islam mendekati Islam.

“Di Malaysia, kehadirannya adalah bertentangan dan ia merupakan sesuatu yang tidak produktif,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain daripada itu, Kit Siang berkata perbahasan melibatkan perbandingan agama tidak mempunyai nilai di negara ini walaupun di luar negara ia menjadi ‘permainan’ antara ahli agama.

“Di Malaysia, orang bukan Islam tidak boleh memberi pandangan berhubung agama Islam apatah lagi untuk ‘berkhutbah’ kepada penganut agama Islam.

“Saya bersetuju sepenuhnya dengan penulis, dan berharap Zakir akan bertindak balas secara positif kepada surat terbuka Anas,” kata Kit Siang.

Namun semalam, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad menyifatkan kedudukan pendakwah tersohor dunia Zakir itu ibarat ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’.

Menurut Tun M, ia bukan sahaja melibatkan Zakir tetapi juga Malaysia berada di dalam keadaan serba salah.

“Di Malaysia, kami mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Kami tak mahu sesiapa pun datang dan menyatakan pandangan ekstrem terhadap agama lain, atau tentang hubungan kaum di negara kami,” kata Tun M dalam satu kenyataanya di Turki. – 1 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.