BUAT kesekian kalinya, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa beliau akan menepati janjinya menyerahkan kerusi Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim.

Kenyataan terbaharunya ialah ketika dalam lawatannya ke Turki baru-baru ini.

Namun, pada hari yang sama, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengeluarkan kenyataan bahawa dia mahu Tun Mahathir kekal sehingga tamat penggal.

Bagi Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir isu pertukaran ini bukan perkara biasa-biasa.

“Ini bukan isu politik kepartian. Ini isu kestabilan, ketenteraman dan keselamatan negara. Ia mengatasi kepentingan politik mana-mana pihak.”

“Muka depan akhbar The Star hari ini meletakkan DS Anwar Ibrahim dalam kedudukan yang sangat terancam bagi menaikkan diri beliau sebagai PM ke-8 dalam tempoh terdekat ini,” kata Roslan dalam Facebook beliau.

Menurut laporan The Star rombongan wakil parti pembangkang termasuk GPS dari Sarawak telah bertemu Tun baru-baru ini untuk menegaskan lagi pendirian yang dimaksudkan. Turut hadir seorang menteri kabinet PH.

Dari segi perkiraan kerusi pula, PAS dan UMNO punya 77 kerusi di Dewan Rakyat.

Menurut sumber blok yang mahukan Tun Mahathir kekal sebagai PM ini mempunyai kekuatan 128 kerusi di Dewan Rakyat, cukup untuk mempertahankan kedudukan itu jika ada usaha untuk mencabar atau merampas kedudukannya itu.

Selain 77 kerusi PAS dan UMNO selebihnya dari GPS, Warisan dan wakil PH sendiri.

“Tidakkah kusut dan seram Anwar dibuat jika membaca laporan ini. Kita boleh bayangkan senarionya,” kata Roslan.

Benar, Tun Mahathir bersedia lepaskan jawatan namun atas desakkan ahli-ahli Parlimen pelbagai parti termasuk pembangkang yang mewakili suara majoriti rakyat Malaysia maka tidak mustahil Tun akur dan akan kekal PM hingga PRU ke-15.

Lagipun tiada perjanjian bertulis menyatakan tempoh masa Tun Mahathir menjadi PM.

Pada 27 Julai lepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada dasarnya bersetuju agar Tun Mahathir kekal sebagai PM hingga ke hujung penggal demi kepentingan dan kestabilan negara.

Abdul Hadi istiqamah dengan pendiriannya dan itu bukanlah kali pertama kenyataannya yang mahu Tun Mahathir kekal.

Begitu juga ketika zaman BN masih menjadi kerajaan, Presiden PAS itu juga mahu Najib Razak kekal sehingga PRU, walaupun ada pihak yang mendesak meletak jawatan.

Secara prinsipnya, Presiden PAS mahu proses penggantian Perdana Menteri dan kerajaan itu berjalan mengikut lunas-lunas demokrasi.

Hal ini kerana, jika Perdana Menteri atau kerajaan yang ada dijatuhkan bukan melalui cara demokrasi, maka nasib kerajaan akan datang juga mungkin akan sama.

Semoga suara majoriti rakyat Malaysia dihormati. – 1 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.