PERDANA Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa sokongan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan perkara baharu.

“Seperti yang anda tahu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang sentiasa kata dia sokong saya. Tak ada perkara baharu,” katanya.

Sokongan yang dimaksudkan ialah supaya Tun Mahathir kekal memegang jawatan PM sehingga tamat penggal.

Dalam pada itu Tun Mahathir mengesahkan beliau telah bertemu dengan pemimpin pelbagai parti pembangkang di pejabatnya.

Perdana Menteri memberitahu parti pembangkang itu terdiri daripada UMNO, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang meminta pertemuan dengan beliau.

Jelas Tun Mahathir, bukan setakat parti pembangkang sahaja, beliau turut berjumpa ramai orang termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya jumpa semua orang dan bukan sahaja parti pembangkang, termasuk NGO saya jumpa.”

“Mereka nak jumpa saya, saya jumpa mereka, saya dengar apa yang mereka nak cakap, kebanyakan mereka nyatakan sokongan pada saya, saya ucap terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Difahamkan, dalam pertemuan itu yang turut dihadiri menteri Kabinet, kumpulan wakil rakyat pembangkang terbabit turut menyatakan sokongan supaya beliau menghabiskan khidmatnya sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Tun Mahathir bagaimanapun enggan menyebut siapa menteri Kabinet yang hadir dalam perjumpaan itu.

Menurut laporan itu, antara yang hadir ialah bekas Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Ketua Whip GPS Fadillah Yusof.

Dalam perkembangan lain, Tun Mahathir menyifatkan sokongan Azmin Ali agar beliau perlu diberi peluang memimpin kerajaan hingga ke akhir penggal adalah pendapat peribadi pemimpin itu.

Namun Tun Mahathir menegaskan beliau sudah berjanji meletak jawatan bergantung kepada tempoh waktu dan senario yang sesuai kelak. – 1 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.