BERDASARKAN laporan akhbar The Star, ada perjumpaan pimpinan parti politik dengan Perdana Menteri.

Wakil parti politik dari PAS ialah Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein mewakili UMNO dan Datuk Sri Fadillah Yusof mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Difahamkan, perkara utama perbincangan mereka adalah mengekalkan Tun Dr Mahathir sebagai PM sehingga habis penggal.

Persoalannya, siapakah yang mengatur perjumpaan itu dan datang dari pihak mana?

Kenapa Hishammuddin sahaja yang dijemput daripada pihak UMNO dan bukan tokoh-tokoh penting mereka yang lain.

Memang ada usaha yang kuat dan berterusan untuk menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada mendapat jawatan PM.

Tetapi apakah usaha itu datang daripada UMNO atau PAS dan yang lain-lainnya tanpa ada perancangan pihak ketiga?

Atau tanpa pengetahuan Tun Mahathir? Atau semata-mata sayangkan Malaysia?

Semua ini berlaku kerana ada pihak yang mencatur dan percaturan ini sudah tentu dapat persetujuan seratus peratus daripada pihak Tun Mahathir sendiri.

Jika tidak, masakan akan ada pemimpin politik berani bermain api, jika mereka tidak mendapat keuntungan, mana mungkin mereka mahu terlibat.

Itu adalah percaturan utama mana-mana ahli politik –Keuntungan!

Saya sebagai rakyat biasa ini hanya mahu melihat pentadbiran negara berjalan dengan baik, ekonomi pulih semula, keyakinan rakyat dan pelabur luar kembali rancak. Juga nilai wang kita pulih dan tidak ada gawat politik kembali.

Tapi nampaknya tidak berlaku begitu, pertempuran antara Tun Mahathir dan Anwar tetap berlaku.

Ibarat di pemukaan laut airnya tenang, tetapi di bawah lautan sedang bergelora dan terbakar, hanya tunggu meletup dan menjadi tsunami.

Kenapakah dua individu ini masih menjadi watak utama dalam sejarah Melayu moden selama puluhan tahun bertempur hanya merebut tempat yang satu.

Saya amat yakin dan percaya percaturan ini melibatkan Tun Daim dan Azmin secara serius. Mungkinkah mereka siang dan malam hanya berfikir untuk memusnahkan musuh dan mengekalkan Tun Mahathir.

Apakah kerana mereka ini terlalu sayangkan Tun Mahathir atau masing-masing ada kepentingan?

Yang saya tidak faham ialah kenapa mereka terus-terusan merebut harta yang ada di dunia ini sedangkan apa yang mereka ada pun dapat diguna lebih daripada tujuh keturunan?

Umur semua mereka ini sudah berada pada bonus dan waktu kecemasan sahaja. Tetapi tindakan mereka sepertinya hidup selamanya.

Saya pula berpendapat negara ini wajib diserahkan kepada pemimpin generasi baharu.

Bukan Tun Mahathir atau Anwar. Juga bukan Azmin, Najib mahupun Zahid.

Jika ditakdirkan dalam tempoh setahun ini ada krisis politik yang maha dahsyat, saya doakan generasi ini juga terhapus dengan tsunami itu, sebagaimana tsunami yang melanda kota Acheh.

Setelah tsunami mereka bangkit menjadi lebih kuat, tersusun dan kukuh keislamannya. – 1 Ogos 2019

HAMDAN TAHA
Penganalisis Politik

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

1 COMMENT

  1. Malaysia perlukan seorang pemimpin yg jujur dan beramanah supaya kekayaan negara dpt dikongsi bersama seluruh rakyat

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.