TULISAN jawi bukan menjadi satu masalah sekiranya tulisan itu dipelajari dan dipraktikkan di sekolah sebaliknya pemimpin DAP perlu faham tulisan jawi itu.

Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah berkata, tulisan jawi ini digunakan oleh orang Melayu Islam sejak zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka lagi.

Menurut beliau,tidak relevan desakan 138 pemimpin akar umbi DAP dan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap pelaksanaan subjek bahasa jawi sebagai kurikulum tahun empat untuk sekolah vernakular.

“Pemimpin DAP perlu faham tulisan jawi digunakan orang Melayu Islam sejak zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka lagi.

“Cadangan itu sepatutnya tidak dipolitikkan dan dijadikan isu apabila ia mahu direalisasikan semula.

“Rakyat dah beri mereka mandat, buatlah kerja baik-baik.

“Jangan menggugat kedaulatan orang Melayu Islam kerana bimbang lebih parah sehingga mengakibatkan rusuhan kaum berlaku.

“Dulu kita pun tak usik tulisan Cina di sekolah-sekolah vernakular dan mereka diberi kebebasan dan boleh mengamalkan budaya mereka tanpa sekatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Pengarah Strategik Pemuda UMNO Bahagian Kuantan, Mohd Afif Mohd Anuar turut tampil mengulas bahawa tulisan jawi pernah menjadi tulisan perantaraan di Tanah Melayu suatu ketika dahulu

Tambah beliau, tulisan ini digunakan sebagai perantaraan di Tanah Melayu dan digunakan Raja-Raja Melayu di dalam urusan rasmi atau surat-menyurat.

“Jadi saya tidak nampak masalah jika subjek tulisan jawi ini direalisasikan.

“Ia adalah pendidikan seni tambahan kerana reka bentuk dan cara menulisnya memerlukan bakat serta keazaman.

“Kenapa DAP mahu menentang sedangkan kita digalakkan mempelajari pelbagai ilmu, bahasa dan penulisan lama.

“Sesungguhnya mempelajari apa-apa yang ada kaitan dengan sejarah akan menjadikan diri kita jauh lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan. – 2 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.