GAGASAN Tiga (G3) memulakan langkah membanggakan dengan membentuk jawatankuasa untuk membawa kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim ke peringkat pengadilan antarabangsa.

Pengerusi G3, Dato’ Azwanddin Hamzah berkata, perbincangan dengan beberapa peguam juga telah dilakukan bagi memanjangkan kes tersebut.

“Sebenarnya kita telah ada perbincangan dengan beberapa peguam dan kita juga telah bentuk jawatankuasa.

“Apabila sedia sahaja, perkara itu (untuk dibawa ke pengadilan antarabangsa) kita akan panggil untuk buat sidang media,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebaik selesai menghadiri himpunan aman Pembelaan Untuk Adib dan Tommy Thomas Sila Letak Jawatan.

Himpunan yang berjaya mengumpulkan lebih 500 orang itu berlangsung di hadapan Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Bulan lalu, prosiding inkues mencari punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, ditutup selepas tiada lagi saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Kes Muhammad Adib menimbulkan keraguan awam kerana campur tangan Peguam Negara, Tommy Thomas dalam prosiding inkues kematian anggota bomba itu.

Walaupun inkues belum selesai, Tommy sudah pun mengeluarkan afidavit bahawa Adib tidak mati dibunuh, sebaliknya dilanggar oleh trak bomba.

Namun, apa yang menjadi persoalan, pada Disember 2018 melalui kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid, empat orang suspek telah dikenal pasti membunuh Adib dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Namun, kesemua suspek telah dilepaskan begitu sahaja tanpa mendedahkan identiti mereka.

Kes Muhammad Adib, mendapat liputan meluas selepas parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara. – NTHQiBORD, 2 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.