INTERPOL sudah tiga kali menafikan notis merah yang dipohon oleh pihak berkuasa India yang mahu mengekstradisi Dr Zakir Naik.

“Zakir Naik bukan seorang penjenayah kerana pihak Interpol sudah tiga kali menafikan notis merah yang dipohon oleh pihak berkuasa India.”

“Jadi memang tiada sebarang merit untuk menuduh Zakir Naik terlibat dalam sebarang bentuk jenayah keganasan,” tegas Firdaus Wong, lapor Sinar harian.

Pada 22 Julai lalu, Interpol dilaporkan berkata Zakir Naik tidak tertakluk kepada notis merahnya selepas mendapati dakwaan yang diberi “menimbulkan persoalan mengenai pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan”.

Notis merah Interpol itu dipohon Direktorat Penguatkuasaan India (ED) dalam usahanya mengekstradisi Zakir Naik yang kini berstatus penduduk tetap Malaysia.

Zakir Naik berdepan tuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002.

Oleh itu, Firdaus Wong yang juga anak murid pendakwah itu berpendapat ahli politik di negara ini tidak sepatutnya terus mempolemikkan status Zakir Naik, sebaliknya memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih penting.

Ahli politik sepatutnya berfikir cara membangunkan ekonomi negara dan mengelak daripada terus melakukan provokasi terhadap umat Islam dengan terus-menerus menyentuh isu sensitif.

Firdaus juga berpandangan jika bersungguh dalam isu Zakir Naik mengapa tidak berusaha mengekstradisi Alvin Tan dan Ali Jalil yang kini berada di luar negara dan dibawa ke Malaysia untuk didakwa di mahkamah atas apa yang mereka lakukan.

Terdahulu, pemimpin DAP, Lim Kit Siang dilapor menyokong saranan seorang peguam supaya Zakir Naik meninggalkan Malaysia secara sukarela.

Dengan memetik alasan peguam itu, Kit Siang berkata, Zakir Naik perlu meninggalkan negara ini kerana didakwa boleh memberi kesan kepada kestabilan negara. – 2 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.