AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mengawal sepenuhnya akaun AmBank milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan beberapa akaun syarikat termasuk SRC International Sdn Bhd dan Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Perkara itu didedahkan oleh bekas pegawai AmBank, Joanna Yu Ging Ping ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam ketika perbicaraan penyelewengan dana SRC International.

Saksi ke-54 itu berkata, Jho Low juga mengawal akaun Permai Binaraya Sdn Bhd, Putra Perdana Construction Sdn Bhd dan Putra Perdana Development menerusi proksi dan kroninya.

Joanna, 48 tahun, berkata mereka yang menguruskan syarikat itu mendapat arahan daripada Jho Low dan melaksanakan arahan tersebut.

Berdasarkan keterangan 55 saksi memberi keterangan sepanjang tempoh 47 hari perbicaraan kes SRC International, akaun Najib di AmBank seperti dimanipulasi dan disalahguna oleh Jho Low dalam skandal kewangannya.

Joanna sendiri mengakui bahawa beberapa dokumen dan perbualan menerusi BBM dengan Terence Geh Choh Heng, bekas pengarah eksekutif 1Malaysia Development Sdn Bhd (1MDB), mengesahkan bahawa Jho Low mempunyai kuasa untuk mengawal akaun SRC International di AmBank.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa Jho Low merupakan dalang yang memberi arahan kepada Joanna, Terence dan bekas Pegawai Ketua Eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil untuk memanipulasi akaun Najib, SRC International dan Gandingan Mentari.

Semasa sesi soal balas, Joanna bersetuju dengan cadangan peguam bela Jho Low menipunya dengan menyembunyikan fakta bahawa semua wang yang dipndahkan ke akaun Najib dari SRC International.

Najib kini berdepan tujuh dakwaan termasuk rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta SRC International. – NTHQiBord, 2 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.