ISU larangan solat dilaporkan sudah selesai selepas wakil pekerja berjumpa dengan pihak pengurusan kilang.

Namun, kejadian ini tidak mustahil akan berulang lagi. Apatah lagi jika kerajaan DAP-PH yang ada pada hari ini terus kekal memerintah selepas PRU15 akan datang.

“Kita bukannya berada dalam sebuah negara komunis! Memo larangan solat ke atas pekerja oleh pihak pengurusan salah satu kilang di Klang adalah satu tindakan yang biadab.

“Tindakan itu tidak menghormati sensitiviti umat Islam yang merupakan majoriti rakyat dalam negara Malaysia,” kata Ketua Penerangan PAS Selangor, Syarhan Humaizi Halim dalam suatu kenyataan.

Bukan sekadar larangan solat, pekerja terbabit bakal didenda RM500 jika melanggar larangan ini.

Menurut Syarhan, perkara ini seperti mahu mencabar kedaulatan Malaysia yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan.

Syarhan melahirkan rasa dukacitanya apabila alasan yang diberikan oleh pihak pengurusan adalah salah faham mengenai waktu solat yang akhirnya menyebabkan memo tersebut dikeluarkan.

Sedangkan Malaysia sebuah negara yang memiliki peratusan penduduk Islam majoriti.

Isu tidak wajar dipandang enteng dan dibiarkan sebegitu sahaja.

Sepatutnya di Selangor ini yang Menteri Besarnya memegang portfolio agama mestilah cakna, mengambil tanggungjawab dan melakukan sesuatu tindakan untuk memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku di tempat yang lain.

Syarhan memberi amaran agar semua pihak yang ada menghormati sensitiviti umat Islam dalam apa jua keadaan.

Menurut beliau sejak akhir-akhir ini khususnya pasca PRU14, isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam kerap berlaku.

Namun yang menjengkelkan ialah kadang kala alasan yang diberikan ialah salah faham atau tidak tahu.

“Sedangkan kita berada di negara yang diperintah oleh orang beragama Islam, majoriti rakyat beragama Islam, serta peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan malah Institusi Beraja selaku Ketua Agama.”
kata Syarhan lagi.

Dengan sedikit kuasa, mereka mula menunjukkan agenda sebenar mereka. Umat Islam mesti bangkit daripada tidur dan bersatu demi agama, bangsa dan keharmonian negara daripada puak cauvinis ini. – 2 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.