SOALAN

Datuk dan nenek saya sudah meninggal dunia dan mereka belum sempat untuk melakukan ibadat haji. Kami anak-anak dan cucu mereka ingin bertanya, mana lebih afdhal antara melakukan badal haji untuk kedua-dua arwah atau wang itu kami infaqkan atas nama mereka?

Jawapan

Melakukan badal haji adalah lebih afdhal. Hal ini berdasarkan hadis Syubrumah, di mana diriwayatkan daripada Ibn `Abbas R.Anhuma, Maksudnya:

Nabi SAW mendengar seorang lelaki berkata: “Aku menyahut seruanMu bagi pihak Syubrumah (لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ).” Lalu Nabi SAW bertanya: “Siapa Syubrumah?” Dia menjawab: “Saudara lelakiku – atau kerabatku.” Rasulullah SAW bertanya: “Sudahkah engkau menunaikan haji untuk dirimu?” Dia menjawab: “Belum.” Lalu Nabi SAW berkata: “Tunaikanlah haji untuk dirimu dahulu. Kemudian barulah tunaikan haji untuk Syubrumah.” Riwayat Abu Daud (1811) dan Ibn Majah (2903)

Begitu juga dengan beberapa hadith yang lain sepertimana hadith yang turut diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Maksudnya:

Seorang wanita dari Juhainah datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk menunaikan haji, namun dia tidak sempat menunaikan haji sehinggalah dia meninggal dunia. Apakah aku perlu menunaikan haji bagi pihaknya?” Jawab Baginda : “Ya, tunaikanlah haji untuknya. Apa pandangan kamu kalau ibu kamu berhutang, apakah kamu perlu melunaskannya?”. Jawabnya : “Ya”. Sabda Baginda : “Tunaikanlah hutang Allah dan hutang Allah lebih berhak untuk dilunaskan.
Riwayat al-Bukhari (1754)

Al-Mubarakfuri menyebut: Ungkapan “حُجِّي عَنْهَا” menunjukkan akan keharusan menunaikan haji bagi pihak si mati. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/580)

Kami berpendapat, hendaklah dibadalkan haji untuk datuk dan nenek yang telah meninggal dunia apabila belum sempat melakukannya sebagai haji fardhu. Ini kerana Baginda SAW menyebut bahawa haji merupakan hak Allah SWT. Maka ia lebih utama untuk ditunaikan.

Imam Nawawi berkata: Jumhur berpandangan bahawa menggantikan haji adalah dibolehkan ke atas mayat serta orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Al-Qadhi Iyadh juga telah memberi pendapat yang berlainan dalam mazhabnya iaitu mazhab Maliki. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/27)

Al-Hafiz Ibn Hajar pula menyebut: Mereka yang menyebut keharusan mengganti haji bersepakat bahawa tidak memadai pada haji fardu kecuali bagi yang mati atau sakit terlantar kerana lumpuh. Oleh itu, perkara ini terkecuali kepada orang sakit kerana adanya harapan untuk sembuh, tidak juga orang gila kerana ada harapan untuk pulih, tidak juga orang yang dipenjara kerana ada peluang dibebaskan serta tidak juga orang miskin kerana boleh jadi dia akan kaya. (Lihat Fath al-Bari, 4/70)

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, melakukan badal haji adalah lebih afdhal berbanding melakukan infaq untuk kedua-dua arwah. Hal ini sepertimana kata ulama Maksudnya:

Sesungguhnya, mengqadha’ yang sunat itu hukumnya sunat sebagaimana mengqadha’ yang wajib itu hukumnya wajib. (Lihat Ithaf Zawi al-Basa’ir bi Syarh Raudhah al-Nazir, 2/264)

Walaubagaimanapun, infaq juga mempunyai kelebihan dan keutamaannya tersendiri. Kami syorkan agar laksanakan badal haji dan jika mempunyai lebihan harta, bolehlah sedekah atau wakaf bagi pihak si mati. – 1 Ogos 2019

S.S. DATO’ SERI DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Mufti Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.