BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa kedudukan kerusinya dalam istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong telah ditukar pada saat akhir.

Najib yang tidak puas hati dengan pertukaran itu menyoal Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa mengenai protokol kedudukan kerusinya semasa istiadat pertabalan baru-baru ini.

Beliau menegaskan, Mujahid telah menuduh beliau sendiri mahu ditempatkan di tempat duduk pembesar.

“Dia tuduh saya sendiri yang nak ditempatkan di tempat duduk pembesar dan lepas itu saya sengaja tak nak bawa pakaian istiadat Orang Besar untuk jadikan alasan tak hadir.

“Macam-macam keluar dari mulut kekanda ini.

“Cuba tanya dia, jika dia faham istiadat istana atau tidak?.

“Tanya dia kalau mengikut protokol susunan kekananan, bekas perdana menteri patut ditempatkan di mana?,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Namun, Mujahid menjelaskan tempat duduk bekas PM itu pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa lalu telah ditetapkan dan tiada sebarang pertukaran dilakukan pada saat akhir seperti didakwa.

Mujahid yang juga bertindak sebagai pengerusi Jawatankuasa Khas Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkata pihaknya sudah memberikan jawapan rasmi kepada Najib berhubung dakwaan itu.

“Najib mendakwa tidak dapat hadir ke istiadat itu setelah menerima panggilan pada 6.30 pagi bahawa tempat duduk beliau yang sepatutnya di tempat ke-10 sebagai bekas perdana menteri mengikut protokol istiadat ditukar pada saat akhir ke tempat duduk Orang Besar Pahang.

“Najib memberitahu pakaian istiadat untuk Orang Besar Pahang dan pakaian bekas perdana menteri tidak sama dan beliau tidak sempat untuk mengambil pakaian istiadat Orang Besar Pahang dari Pekan, Pahang.

“Isunya bukan dialih. Isunya (kerusi Najib) sudah ditetapkan. Kemudian Najib sendiri beri alasan dia kena duduk di tempat Orang Besar Pahang.

“Dia kena tukar baju. Itu masalah dia. Kita sudah maklum lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Najib dengan tegas mempertahankan dakwaannya bahawa kedudukan kerusi untuknya diubah pada saat akhir.

Beliau secara sinis meminta Mujahid supaya tidak memandai-mandai membuat tuduhan.

“Tak payahlah nak memandai menuduh, anda hanya pandai menulis sahaja,” ujarnya. – 2 Ogos 2019

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.