PIHAK tentera tidak seharusnya menerima apa sahaja peralatan yang dicadangkan atau hendak dijual oleh pembekal.

Hal ini kerana sebarang pembelian peralatan ketenteraan hendaklah berdasarkan keperluan, bukan kehendak yang boleh menghabiskan wang rakyat.

Kebanyakan pembekal mahupun ejen jualan peralatan tentera ‘melobi’ produk mereka untuk keuntungan berlipat ganda, bukan memikirkan keperluan negara semata-mata.

Mereka cukup bijak menggunakan platform politik untuk membolehkan urusan jual beli peralatan pertahanan dengan cara yang untung dan mudah.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini bertitah, pihak komando tidak seharusnya ‘sesuka hati’ menerima peralatan baru.

Ini kerana ia cuma jerat pembekal untuk ‘cari makan’.

Baginda yang merupakan Kolonel Komandan Grup Gerak Khas (GGK) menegaskan akan sentiasa memerhati serta mengambil tahu mengenai Kor Gerak Khas.

“Saya juga perhatikan ada bekas-bekas Jeneral bersara menjadi ejen menjual perkakasan tentera kepada komando dengan harga tidak masuk akal.

“Sebagai contoh, pembelian bot ‘Rigid Riding Craft’ sebanyak lapan unit dicadangkan dengan kos RM5 juta seunit, harga ini tidak munasabah dan selepas saya campur tangan, saya berikan komando bot lebih baik serta menjimatkan kerajaan,” titah Sultan Ibrahim seperti dipetik dalam laman Facebook rasminya.

Titah Sultan Ibrahim, Baginda sedar campur tangannya dalam urusan perolehan komando itu tidak disenangi oleh sesetengah pihak yang ingin mengaut keuntungan sebagai ejen atau orang tengah.

“Jika saya tidak campur tangan dalam hal ini, siapa yang akan untung berjuta ringgit,” tegas Baginda.

Walaupun Baginda jelas membidas pihak tertentu yang cuba untuk menjual peralatan pertahanan dengan harga tinggi, perolehan ketenteraan diuruskan Kementerian Pertahanan Malaysia.

Kementerian yang dikendalikan Mohamad Sabu, yang merupakan Presiden Parti PAN, mempunyai kuasa sepenuhnya dalam perolehan dan tender pertahanan.

Ia menimbulkan persoalan rakyat tentang integriti pasukan Mohamad Sabu, yang dilihatkan tidak ada bezanya dengan Barisan Nasional, pemerintah terdahulu. – NTHQiBORD, 2 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.