KETUA Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa menyatakan cara politik yang diamalkan DAP boleh menggugat keharmonian antara kaum, lapor UMNO online.

Perkara ini dapat dilihat pada tindakan dan kenyataan demi kenyataan pemimpin DAP seperti sokongan padu kepada ICERD dan Statut Rom, menuduh kerjasama UMNO PAS sebagai Taliban dan juga mahu meminda kurikulum pendidikan.

Jika dahulu keharmonian pelbagai kaum dirobek ekoran peristiwa rusuhan pada 13 Mei 1969 yang dicetuskan oleh parti DAP, kini sekali lagi seolah-olah mereka mahu melakukan perkara yang sama walaupun dengan pendekatan lain.

“Cara DAP tidak boleh jadi formula (keharmonian kaum) di Malaysia. Kemuncak cara DAP bila cakap Cina maksud lain, cakap bahasa Melayu dan Inggeris lain maksud, tidak boleh. Ikatan perpaduan kena ikhlas tidak boleh ‘pepat di luar rencong di dalam’.

“Depan bunyi molek, belakang duk bawa idealogi sosialis. Islam tolak idealogi sosialisme. Apalagi nak bawa idealogi sosialis kiri yakni komunis.”

“Fahaman ini tidak boleh pergi sekali dengan Islam hendak sama ratakan semua. Dalam Islam, keadilan memberikan hak kepada yang berhak,” ujarnya

Asas pembentukan negara ini sebenarnya berlandaskan model pembentukan negara sebagaimana Rasulullah SAW bina negara Islam Madinah, mengharmonikan kaum-kaum yang wujud sebelum kedatangan Baginda.

“Itulah asas kita bina negara kita, kerana kita Islam kita tidak boleh membenci orang kerana bukan Islam dan bukan Melayu. Sebab itu boleh kita bersama MCA, MIC jadi Perikatan menjadikan Malaysia masyarakat majmuk.”

“Suka saya ulang perkara ini kerana ada orang kata UMNO PAS bergabung (ta’awun), maka akan jadi ancaman kepada orang Cina, akan jadi Taliban, akan jadi rasis. Selagi UMNO, PAS dan orang Melayu orang yang ada agama dan ajaran Nabi SAW adalah jelas, sunnah Nabi adalah jelas, amaran Nabi SAW adalah jelas, “bukan dari golongan aku orang yang amalkan asobiyah (menindas kelompok lain)”,” kata Annuar.

Ini kerana kata Annuar, Rasulullah mengajar umat Islam kena terima pelbagai kaum, ada kebebasan beragama, bersederhana dan melarang menyakiti orang bukan Islam yang berstatus ‘zimmi’.

Menurut Annuar UMNO, PAS, MCA dan MIC adalah parti yang wujud sebelum merdeka, manakala parti-parti dalam kerajaan sekarang ini adalah parti yang wujud selepas merdeka.

DAP ditubuhkan tahun 1966, PKR tahun 1998, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) baru tiga tahun, Parti Amanah Negara (PAN) baru dua tahun setengah.

Annuar juga menyeru kepada semua pendukung parti agar meyakinkan rakyat akan kemampuan untuk membuat yang lebih baik dari kerajaan sekarang ini. – 2 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.