CADANGAN Senator PKR Mohd Imran Abd Hamid untuk wujudkan undang-undang gangguan seksual bagi melindungi lelaki daripada melakukan jenayah rogol disifatkan sebagai jahil dan terencat akal, kata Pemuda MCA.

Ketuanya, Nicole Wong berkata, Dewan Negara sepatutnya lebih menumpu kepada kandungan perbahasan, bukannya membiarkan mereka yang tidak berakal membuang masa dan berlagak macam badut.

Katanya, cubaan Mohd Imran untuk menghalalkan jenayah seksual dan mencari helah melindungi penjenayah seks, membuktikan kejahilan serta akalnya yang terencat teruk.

“Manusia dibezakan daripada haiwan kerana mempunyai akal fikiran, kebolehan untuk membezakan baik dan buruk, serta ketahanan dalam mengawal nafsu sendiri, malah saling menghormati merupakan sifat asas manusia.

“Seseorang yang tidak berupaya mengawal nafsunya sendiri, sebaliknya menyalahkan orang lain, termasuk mangsanya, adalah amat biadab malah boleh disifatkan sebagai ‘kebinatangan’,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun Nicole berkata, pihaknya mengalu-alukan permohonan maaf Mohd Imran atas cadangan itu dan berharap bahawa permohonan maaf beliau adalah ikhlas.

Namun katanya, Pakatan Harapan perlu memperbaiki mekanisme untuk memilih pemimpin yang berkualiti dan berkelayakan.

“Janganlah membazirkan wang rakyat atas pemimpin-pemimpin sebegini yang membuat kenyataan dalam Parlimen, tetapi menarik balik selepas menghadapi tekanan dari rakyat.

“Kita berasa khuathir sama ada kenyataan senator tersebut memang mewakili pendirian PKR, dan adakah PKR dan PH menyetujui pandangan serta cadangannya,” katanya.

Sehubungan itu, Nicole mendesak parti komponen PH untuk menyatakan pendirian tentang cadangan tidak masuk akal Mohd Imran itu.

“Walaupun kebanyakan daripada kita merasakan cadangan tersebut tidak masuk akal, namun kita tidak boleh menafikan bahawa beliau mungkin hanya bercakap bagi pihak PKR, kerana dalam parti tersebut juga mungkin terdapat pandangan yang sama.

“Parti-parti komponen PH wajarlah menyatakan pendirian, sama ada cadangan yang tidak masuk akal ini, sememangnya pegangan ‘Malaysia Baharu’ yang dilaung-laungkan,” katanya. – 2 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.