PENGETUA Madrasah At Tanwiriah Muar, Johor, Ustaz Kamalulnizam Mohd Suhut menasihati pihak siaran televisyen tempatan agar tidak mempromosi sebuah drama gay.

Menurut Ustaz Kamalulnizam, budaya seperti itu tidak sepatutnya mendapat tempat di siaran tv terutamanya melibatkan sikap negatif itu.

“Pihak Madrasah menasihati pihak yang terlibat supaya berhenti daripada meneruskan hasrat untuk mempromosi dan menyiarkan drama kontroversi tersebut.

“Penularan poster sebuah drama tempatan bertajuk Demi Tuhan Aku Bersaksi memaparkan penglibatan watak pelajar Tahfiz Al-Quran dengan amalan Gay adalah tidak wajar.

“Institusi Tahfiz Al-Quran sejak dahulu memainkan peranan penting dalam membentuk generasi pelajar yang cemerlang dalam pembelajaran dan sahsiah,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain daripada itu, beliau berkata, negara Malaysia sememangnya menolak sikap dan gejala seperti itu dan pendirian ini haruslah dihormati oleh semua pihak.

“Promosi amalan Gay yang dilaknat di dalam agama dan tidak patut disiar dalam mana-mana media prima negara ini.

“Di sini sukanya pihak Madrasah untuk mengajak menghayati sebuah Hadis Nabi ﷺ mengenai kedudukan mereka yang mempelajari al-Qur’an:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

“Sebaik-baik antara kamu adalah seseorang yang mempelajari al-Qur’an dan yang mengajarkannya (HR al-Bukhari),” katanya.

Di samping itu, beliau juga menyeru semua pihak terutamanya masyarakat negara ini supaya berganding bahu membantu memperkasakan Institut Tahfiz Al-Quran khususnya di negara ini dalam segenap aspek.

“Semoga Allah membimbing kita dengan hidayahNya, Amin,” katanya. – 3 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.