LIM Kit Siang menasihatkan gabungan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak terlalu obses dengan peralihan kuasa siapa yang akan menjadi Perdana Menteri seterusnya.

Penasihat parti DAP itu berkata, parti gabungan itu sepatutnya memberi sepenuh perhatian terhadap usaha untuk memenuhi janji-janji yang telah dibuat semasa PRU14 lalu.

“Gabungan antara PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) itu perlu memberi perhatian penuh kepada usaha memenuhi janji.

“Terlalu banyak keghairahan mengenai isu siapa akan menggantikan Tun Mahathir sebagai PM.

“Rakyat Malaysia lebih berminat untuk mengetahui sama ada kerajaan PH boleh memenuhi janji-janjinya tentang perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti Malaysia Baru.

“Ini mesti jadi isu utama kerajaan PH dan sepatutnya cuma ada gangguan minimum daripada tugas utama kerajaan PH di Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain daripada itu, isu peralihan kuasa antara Tun M dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah polemik politik.

“Masih ada pihak yang mahu Tun M kekal memegang jawatan selama sepenggal.

“Namun ada pihak mencetuskan gesaan mengenai tarikh peralihan kuasa dilakukan daripada Pengerusi PH itu,” katanya. – 3 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.