BARISAN Nasional (BN) berpeluang untuk merampas Selangor pada pilihan raya akan datang jika menggunakan pendekatan yang betul, kata Pengerusi UMNO negeri, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Mat Nadzari berkata, BN mempunyai potensi untuk mendapat semula kuasa di Selangor terutamanya selepas kesepakatan antara UMNO dan PAS menunjukkan momentum yang baik.

Bagaimanapun katanya, BN perlu menunjukkan kesungguhan dan tidak boleh leka menjalinkan kesepakatan itu bagi mencapai misi menawan semula Selangor.

“Kita tidak nafikan peluang yang ada. Siapa sangka BN boleh kalah selepas 61 tahun berkuasa.

“Berdasarkan tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) lepas, ada perubahan yang meyakinkan kita tentang potensi untuk rampas Selangor.

“Tapi kita perlu lakukan frog leap (anjakan). Kita perlu bergerak pantas dan jauh serta buang sikap untuk bergerak perlahan atau berperingkat,” katanya kepada NTHQiBord.

Beliau menyuarakan keyakinan itu selepas melihat kemelut yang berlaku dalam pentadbiran Selangor di bawah pemerintahan PKR yang kini berdepan kemelut perpecahan parti.

Sehubungan itu, Mat Nadzari menasihatkan rakyat Selangor terutamanya generasi baharu agar memahami erti politik sebenar.

Jelasnya, rakyat perlu faham tentang keluarbiasaan yang diwujudkan oleh parti politik kerana agenda luar biasa itu akhirnya akan memerangkap mereka.

“Sebagai contoh, manifesto Pakatan Harapan yang luar biasa telah menjadi bukti rakyat terperangkap dengan janji manis mereka.

“BN suddah perintah 61 tahun dan kita tahu had keupayaan kerajaan dan setiap kementerian.

“Jadi kita perlu pandai menilai jika ada parti politik yang cuba tawarkan keluarbiasaan lebih dari kemampuan kita,” katanya. – NTHQiBord, 2 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.