SETIAUSAHA PKR Selangor, Mohd Radzlan Jalaludin menegaskan bahawa tiada kemelut yang sedang berlaku dalam parti tersebut.

Jelas Mohd Razlan, pertemuan yang diadakan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Saya tidak dimaklumkan mengenai pertemuan tersebut.

“Pertemuan ini melibatkan ADUN dan saya bukan ADUN. Saya tidak tahu isi kandungan pertemuan ini.

“Saya percaya, pertemuan ini tidak melibatkan pentadbiran parti di peringkat negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, reaksi Mohd Razlan menggambarkan seolah-olah berlakunya masalah dalaman parti di negeri itu.

“Kita telah mengadakan beberapa mesyuarat sebelum ini dan mesyuarat ini telah dihadiri oleh ADUN dan ketua-ketua cabang dan hampir kesemuanya hadir, ada yang tidak hadir. Ia berdasarkan alasan yang kukuh.

“PKR sentiasa dukung aspek keadilan rakyat dan setakat ini, saya tak nampak sebarang kemelut berlaku,” katanya.

Sementara itu, beliau menzahirkan agar semua pihak dalam PKR bersatu bagi menyokong teguh kepimpinan Amirudin selaku Pengerusi PKR negeri bagi menyambung kepimpinan terdahulu.

“Semangat ini harus diperkukuhkan kerana rakyat yakin dengan kita dan Pakatan Harapan (PH).

“Jangan kita goyangkannya dengan sebarang kemelut dan sebarang andaian,” katanya. – 3 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.