KETUA Pemuda PAS Dun Sura, Ahmad Faqrukhairi Nag Muddin menzahirkan kekesalan apabila institusi tahfiz kini semakin dimusuhi.

Ahmad Faqrukhairi berkata, media massa sekarang ini seolah-olah menggambarkan pusat tahfiz dan orang menutup aurat di negara ini bermasalah serta menimbulkan perkara negatif.

“Media Massa memperlihatkan pusat tahfiz, berserban dan berjubah ini sebagai pengganas seperti filem tahun lepas.

“Manakala drama Nur pula meletakkan imej orang yang bertudung sempurna seolah olah lebih teruk akhlaknya berbanding mereka yang tidak menutup aurat langsung,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain daripada itu, beliau berkata, RTM sendiri telah tampil dengan karya baru yang bakal menayangkan drama mengaitkan pusat tahfiz terlibat dengan gejala LGBT.

“Karya itu bukan jalan terbaik .

“Kenapa kes jijik seperti ini tidak dikaitkan dengan sekolah biasa atau sekolah berasrama penuh kerana budaya itu sudah lama kedengaran disekolah-sekolah harian dan berasrama.

“Kenapa menterinya boleh meluluskan drama ini dan kenapa tiada garis panduan serta tidak merujuk kepada ahli-ahli agama,” katanya.

Tambah Ahmad Faqrukhairi, perkara ini amat membimbangkan dan seolah ada pihak yang cuba menormalisasikan imej tahfiz dan islam dengan perkara perkara negatif dan buruk.

“Saya menyeru rakyat malaysia, khususnya anak muda agar tidak menyokong kepada filem yang mengandungi unsur unsur membelakangkan agama islam.

“Jadikan ia sebagai amaran kepada penerbit atau pengarah.

“Tunjukkan dekat mereka bahawa rakyat Malaysia majoritinya beragama islam tidak suka filem atau drama seperti ini ditayangkan,” katanya. – 3 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.