PADA 2 Ogos 2019, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa ia “akan meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat ini seperti dijadualkan, dengan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan murid dan guru”.

Tarikh yang sama juga Jawatankuasa DAP Wilayah Persekutuan memutuskan secara sebulat suara bahawa ia menentang pengenalan tulisan khat ini dan bahawa ia mendesak Kementerian Pendidikan menarik balik keputusan untuk melaksanakannya.

Penentangan sebulat suara DAP Wilayah Persekutuan ini adalah amat penting kerana Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan adalah juga Pengerusi DAP Pusat, Tan Kok Wai.

Bolehkah dibayangkan bahawa keputusan yang dipersetujui oleh Pengerusi DAP Pusat ini akan ditolak oleh Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat yang lain?

Apatah lagi bila Timbalan Pengerusi dan Naib Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Fong Kui Lun dan Teresa Kok, juga adalah Bendahari dan Penolong Setiausaha Agung DAP Pusat.

Bolehkah dibayangkan juga bahawa seorang Menteri seperti Teresa Kok dan seorang Timbalan Menteri seperti Hannah Yeoh, yang merupakan Penolong Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, secara terbuka menentang keputusan yang dibuat oleh kerajaannya sendiri yang mana Timbalan Menteri Pendidikan juga adalah dari DAP?

Bila DAP Wilayah Persekutuan yang diketuai oleh Pengerusi DAP Pusat selain dianggotai oleh seorang Menteri dan seorang Timbalan Menteri telah memutuskan menentang pengenalan tulisan khat ini, maka ia umpama perisytiharan ‘perang’ yang sukar ditarik balik. – 4 Ogos 2019.

USTAZ SOPHIAN,
Anak Pulau Pinang yang prihatin.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.