TENGKU Razaleigh Hamzah akhirnya tampil mendesak kepimpinan UMNO agar mengambil tindakan disiplin kepada pemimpin dan ahli yang tidak lagi sehaluan dengan parti.

Sebabnya, Tengku Razaleigh atau dikenali sebagai Ku Lie berkata, disiplin dalam parti perlu diperkuatkan tambahan UMNO sudah bekerjasama dengan PAS.

“Orang yang tak boleh berkhidmat kepada parti pencenkan dia. Kita tak mahu ada duri dalam daging, barua dalam parti kita. Apatah lagi PAS sekarang bersama dengan kita. Kita tidak mahu ada ‘barua’ dalam parti.

“Kita kena tengok supaya kedudukan kita kukuh, kuat dan bersatu bersama-sama rakan komponen serta rakan baru kita PAS,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh turut menasihati ahli dan pemimpin UMNO supaya tidak menjadi tali barut kepada musuh.

Menurutnya, orang UMNO tidak seharusnya membiarkan diri diperalat orang dalam keadaan parti terus dicemuh.

“Oleh itu saya suka menasihati jangan jadi tali barut orang lain. Jangan jadi terlampau bodoh biar orang peralat kita.

“Jangan biar orang terus mencemuh kita. Sebab nak jaga jawatan. Kita mesti rela berkorban,” katanya lagi.

Tengku Razaleigh berkata, pemimpin dan ahli UMNO tidak seharusnya menunjukkan mereka lemah dan berpecah.

Katanya, tindakan itu akan menyebabkan orang lain terus memandang rendah dan mencemuh UMNO. – 4 Ogos, 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.