PELAKSANAAN dasar Undi18 merupakan satu kelebihan buat UMNO pada pilihan raya umum akan datang, kata Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Katanya, berdasarkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sokongan parti-parti Melayu iaitu UMNO dan PAS telah dipecahkan dan beralih ke Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, dalam sejarah PRU, itu merupakan kali pertama BN kalah teruk dengan margin 32.3 peratus.

“10 peratus sokongan parti Melayu beralih kepada PH dengan masing-masing lima peratus disumbangkan dari UMNO dan PAS.

“Jadi undi 18 tahun ini boleh menyebabkan undi orang Melayu meningkat 69 peratus dan PH perlu menarik sekurang-kurangnya 20 peratus untuk kekal berkuasa,” katanya kepada NTHQiBord.

Mat Nadzari berkata, Selangor bakal memiliki 600,000 pengundi muda berdasarkan pelaksanaan undi 18 tahun.

Dengan jumlah itu katanya, pengundi di Selangor akan meningkat kepada lebih tiga juta orang jika ditambah lagi dengan 400,000 pengundi belum berdaftar dan 2.4 juta pengundi sedia ada.

Bagi meraih sokongan pengundi muda, Mat Nadzari berkata, BN akan menggunakan kaedah akar umbi bagi mendapatkan sokongan golongan itu.

“Kalau ikut komposisi parti yang paling ramai ahli adalah BN dan PAS.

“UMNO saja ada tiga juta ahli dan PAS kira-kira sejuta ahli. Jadi sudah ada lima juta ahli ditambah dengan sejuta ahli MCA dan MIC.

“Jadi ini adalah kekuatan kita untuk digunakan. Akar umbi adalah ibu bapa kepada pengundi muda dan mereka perlu memberi pendedahan kepada anak masing-masing, sekali gus meraih sokongan mereka,” katanya. – NTHQiBord, 2 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.