ADA kemungkinan pelabur akan memilih Vietnam berbanding Malaysia ekoran situasi politik yang tidak menentu di negara ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Katanya, ketidaktentuan itu antaranya berpunca akibat perbalahan dalaman PKR antara Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, beberapa pelabur menyuarakan kebimbangan mereka kepada beliau berhubung isu itu dan ada yang sedia memilih Vietnam sebagai destinasi pelaburan.

“Ada pelabur bertanya kepada saya tentang apa yang berlaku di Malaysia.

“Malah kata mereka, jika situasi politik ini berterusan, mereka akan berpindah ke Vietnam.

“Saya tidak berniat menakutkan sesiapa tetapi pelabur sendiri yang berfikir sedemikian.

“Mereka tidak menolak sepenuhnya untuk melabur di Malaysia, tetapi lebih kepada sikap menunggu,” katanya menurut NST.

Peralihan kuasa Perdana Menteri antara Tun Mahathir Mohamad dan Anwar juga menjadi perhatian pelabur asing.

Baru-baru ini, UMNO dan PAS menyatakan sokongan kepada Tun Mahathir agar terus memerintah sehingga tamat penggal.

Menyentuh perkara itu, Redzuan berkata Anwar perlu ‘perlahankan rentak’ dan bersabar kerana jawatan itu pasti akan diserahkan kepadanya.

“Tun Mahathir sudah berjanji untuk menyerahkan jawatan itu kepada Anwar, jadi kenapa beliau sibuk mahu menggesa Tun Mahathir melepaskan jawatan.

“Bagi Tun Mahathir masa untuk memperbetulkan negara supaya mudah untuk Anwar menjalankan tanggungjawab apabila mengambil alih nanti,” katanya. – 4 Ogos, 2019.

1 COMMENT

  1. Be more realistic and neutrual. Kerja dengan lebih kuat, tulus dan tunjuk kan prestaji kemajuan di semua peringkat pentabiran kerajaan mau pun swasta. Jangan asyik hanya memikir siapa yang bakal menjadi PM8 nanti. Bring back the Malaysia Tiger’ again to the nation and the people of Malaysia ku!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.