Ketua Pembangkang itu berkata, DAP adalah watak utama yang dilihat telah membuat perancangan rapi terutama dalam mengganggu gugat hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

KAMI dimaklumkan bahawa Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bercadang untuk melaksanakan Dasar “Contract for Service” (CFS) iaitu melantik pengawal keselamatan secara kontrak bagi Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) di sekolah-sekolah dan premis Kerajaan.

Menerusi CFS, perkhidmatan PKK tidak akan lagi dibuat melalui proses tender kepada syarikat-syarikat kawalan keselamatan. Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) juga telah mengadakan sidang akhbar mengenai CFS serta perkara ini pada 29 Julai 2019.

Cadangan dasar oleh MOF di bawah Lim Guan Eng (LGE) ini bakal mengundang malapetaka yang amat serius kepada Syarikat – syarikat kawalan keselamatan dan industri perkhidmatan kawalan keselamatan yang umumnya dibuat oleh orang Melayu dan Bumiputera.

Antara kesan-kesan kerosakan yang akan dilakukan oleh MOF dan LGE terhadap perniagaan dan ekonomi orang Melayu adalah seperti berikut:

1. Sebanyak 800 Syarikat Kawalan Keselamatan yang bergantung kepada kontrak PKK dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak Kerajaan akan kehilangan peluang perniagaan dan terpaksa gulung tikar.

Semua Syarikat Kawalan Keselamatan ini adalah 100% milik orang Melayu dan Bumiputera.

2. Majoriti pengusaha syarikat adalah merupakan pesara-pesara Pegawai Kanan Kerajaan, Polis dan Tentera yang 99% adalah orang Melayu dan Bumiputera.

3. Pelaksanaan dasar CFS oleh LGE ini juga akan menyebabkan 50,000 orang pengawal dan kakitangan Syarikat Kawalan Keselamatan yang secara puratanya berada di dalam golongan B40 akan hilang pekerjaan dan punca pendapatan.
Lebih 99% golongan ini adalah orang Melayu dan Bumiputera.

4. Kesan buruk kepada sosial dan ekonomi secara serta merta akan terjadi ke atas 50,000 orang pengawal keselamatan dan kakitangan serta keluarga dan tanggungan mereka yang bakal kehilangan pekerjaan.

Perkara ini akan secara langsung mendatangkan kesan negatif jangka panjang terhadap mereka yang terlibat seperti peningkatan kadar pengangguran, kadar jenayah dan keruntuhan institusi kekeluargaan.

5. Bagi perkhidmatan kawalan keselamatan di sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM, pelaksanaan dasar CFS ini akan memberi gambaran bahawa seolah-olah Kerajaan PH mengambil mudah terhadap keselamatan para pelajar-pelajar, guru, kakitangan, aset dan orang awam.

6. Jelas, prinsip keselamatan yang munasabah bukan lagi menjadi pertimbangan LGE, MOF dan Kerajaan PH.

Sebagai contoh, kekurangan pengawal keselamatan yang terlatih akan tentunya mengundang lebih tinggi risiko keselamatan kepada pelajar-pelajar, guru-guru dan kakitangan sekolah.

Perkara ini akan mendatangkan kesan buruk kepada kesejahteraan masyarakat dan persepsi negatif rakyat kepada Kerajaan PH khususnya.

Kerajaan PH tidak seharusnya berkompromi dalam aspek keselamatan di sekolah dan premis Kerajaan.

7. Kami juga tertanya-tanya macamana LGE dan MOF membuat kira-kira kononnya CFS ini akan menjimatkan kewangan kerajaan.

Pelaksanaan dasar CFS ini sebenarnya akan menambah kos serta meningkatkan beban kewangan kepada Kerajaan untuk jangkamasa panjang seperti kos untuk uniform, peralatan keselamatan, penyelenggaraan, latihan, kawal selia, insurans dan perekrutan pengawal dan lain-lain yang berkaitan.

Kerajaan akan menanggung beban kewangan yang lebih tinggi dan berpanjangan.

8. Pelaksanaan dasar CFS ini juga akan menambah beban tugas kepada guru-guru dan kakitangan sekolah.

Tambahan beban tugas akan terjadi apabila guru-guru dan kakitangan sekolah terpaksa menguruskan sendiri penjawatan seorang pengawal keselamatan yang melibatkan persediaan, jadual bertugas, dan disiplin pengawal keselamatan.

Kami menyeru KPM, guru-guru, PIBG dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) untuk sama-sama membantah keras cadangan dasar CFS oleh LGE dan MOF ini.

9. Kami sangat bimbang dengan nasib pengawal keselamatan yang akan dilantik melalui CFS ini juga tidak akan terjamin dan pastinya akan terabai.

Kenapa? kerana mereka hanyalah pekerja kontrak yang tidak layak untuk mendapat pelbagai caruman seperti KWSP, SOCSO, insurans dan lain-lain.

Kerajaan PH akan membahayakan keselamatan, nyawa dan kesihatan mereka semasa dan selepas bertugas.

10. Tambahan lagi, sekarang ini aset-aset sekolah dan premis Kerajaan dilindungi insurans yang kini ditanggung oleh syarikat kawalan keselamatan yang diberikan kontrak tersebut.

Pelaksanaan dasar CFS ini akan menyaksikan masalah baru yang bakal ditanggung oleh setiap sekolah dan premis kerajaan itu sendiri sekiranya berlaku sebarang kerosakan atau kehilangan kerana tiada perlindungan insurans.

Secara langsung ianya menambahkan lagi kos dan beban kewangan kepada Kerajaan.

11. Kami juga mahu bertanya kepada LGE dan MOF. Bagaimana kah mereka hendak memastikan pengawal-pengawal yang akan dilantik melalui dasar CFS ini tiada rekod jenayah serta lulus Tapisan Keselamatan dengan PDRM?

Tidakkah isu ini akan membahayakan keselamatan pelajar-pelajar, guru- guru dan kakitangan sekolah.

12. LGE dan MOF tidak boleh memperjudikan dan membahayakan keselamatan pelajar-pelajar, guru-guru, dan kakitangan sekolah dengan alasan tidak cukup bajet.

Keselamatan dan nyawa mereka tidak tidak boleh dinilai dengan duit wahai kerajaan PH.

13. Alangkah ruginya syarikat-syarikat kawalan keselamatan yang telah membelanjakan lebih RM150 juta untuk memberi latihan kepada pengawal keselamatan melalui program latihan Certified Security Guard (CSG) yang dilaksanakan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Industri keselamatan telah melatih sebanyak hampir 100,000 orang pengawal keselamatan sejak 2014 untuk meningkat imej dan kualiti tugasan mereka.

14. Dengan ini, kami menganggap cadangan LGE dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk melaksanakan CFS ini adakah merupakan suatu taktik jahat untuk merosakkan perniagaan syarikat kawalan keselamatan milik orang Melayu dan Bumiputera.

Ianya juga adalah taktik kotor dan busuk DAP yang secara halus untuk memusnahkan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.

15. Kami amat berharap nasib syarikat-syarikat kawalan keselamatan dan industri kawalan keselamatan ini dapat dibela oleh parti-parti Melayu dan Bumiputera lain yang ada dalam pakatan Kerajaan PH sekarang.

16. Kami merayu pertolongan dan campurtangan YAB Perdana Menteri, YB Menteri Pendidikan dan YB Menteri Dalam Negeri serta pegawai – pegawai kanan MOF dan KPM bagi membantu menyelesaikan isu dasar CFS ini yang terang-terang akan memusnahkan perniagaan orang Melayu dan Bumiputera dalam industri kawalan keselamatan.

17. Seterusnya kami menyeru semua pihak khususnya parti-parti politik dan NGO-NGO Melayu dan Bumiputera agar membantu dan membantah cadangan LGE dan MOF untuk melaksanakan dasar CFS ini.

18. Kami akan terus membuat bantahan demi bantahan sehinggalah Kerajaan PH khususnya MOF dan KPM dapat mengekalkan dasar semasa yang menggunakan perkhidmatan syarikat kawalan keselamatan di sekolah dan semua premis Kerajaan. – 4 Ogos 2019.

PEMILIK-PEMILIK SYARIKAT KAWALAN KESELAMATAN KESELAMATAN MELAYU & BUMIPUTERA.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.