PENTADBIRAN yang diterajui Pakatan Harapan (PH) masih belum dapat menarik undi Melayu seperti yang mahu dicapai.

Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim sendiri mengakui usaha yang dilakukan belum cukup untuk memberi keyakinan kepada pengundi Melayu.

“Kita perlu beri keyakinan kepada mereka bahawa PH tidak akan meranapkan hak Melayu, kedudukan Islam dan Kedaulatan Raja-Raja.

“Kita mahu membina Melayu Islam ketika Malaysia Baharu adalah Melayu yang bermaruah, benci rasuah, progresif dan mampu bersaing.

“Tetapi kita masih belum sepenuhnya mengerahkan upaya maksimum untuk meningkatkan keyakinan itu,” katanya.

Selain daripada itu, beliau berkata, ia harus dijadikan sebagai cabaran untuk membentuk teras utama jawatankuasa khas bagi menganalisa keadaan berkenaan bagi mendapatkan maklumat dan menghimpunkan pakar untuk bincang dengan teliti.

“Kerajaan perlu mencari menyelesaikan segera dan menjelaskan isu seperti peneroka Felda, pekebun kecil Felcra, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan tol.

“Isu seperti itu adalah perkara yang boleh menyebabkan kerajaan berdepan risiko ditolak rakyat,” katanya.

Tambah beliau, gabungan parti itu berpotensi kehilangan empat kerusi Parlimen di Perak jika pola pengundi Melayu kepada PH terutamanya Amanah tidak diberi perhatian yang serius.

“Perkara itu dinyatakan dalam laporan pada kajian Februari lalu oleh dua badan kajian politik bahawa kerusi Parlimen di Parit Buntar, Tambun, Lumut dan Tanjung Malim berpotensi tumbang.

“Walaupun kajian bersifat semasa dan dapatannya boleh berubah tetapi masih memerlukan perhatian serius dan jangan kita berada dalam sindrom penafian,” ujarnya. – 5 Ogos 2019

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.