KETEGASAN Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meneruskan pembelajaran seni khat di sekolah vernakular menimbulkan rasa tidak puas hati dalam golongan akar umbi parti DAP.

Menurut laporan MalaysiaGazette, hal itu disuarakan oleh akar umbi parti itu dalam satu mesyuarat tertutup yang diadakan hari ini.

Mesyuarat itu diadakan bertujuan memberi kesempatan kepada pemimpin parti Cina itu bagi memberi penjelasan mengenai isu tersebut.

Sebagai rekod, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching merupakan ahli politik DAP yang bersetuju dengan pelaksanaan itu.

Menurut sumber yang hadir mesyuarat itu, isu tulisan itu akan memberi kesan dalam pemilihan parti akan datang, sekali gus dikhuatiri membawa kepada kejatuhan pemimpin parti yang dianggap tidak melakukan tugas secara baik.

Kata sumber itu, isu tulisan khat dan jawi juga ‘merupakan masalah terbesar pertama yang menimpa DAP sejak Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara’.

Dalam pada itu, parti itu dikatakan gagal memujuk rakan dalam PH untuk menarik balik keputusan mengenai seni khat.

Difahamkan, parti komponen dalam  PH enggan membuat pusingan semula (U-turn) kerana mereka tidak mahu dilihat sebagai ‘pak turut’ kepada DAP.

Oleh sebab itu, isu tulisan jawi dan khat ini terus membakar dalam DAP dan parti itu gagal metenteramkan perasaan akar umbi tersebut melalui sesi taklimat kecil-kecilan yang diadakan secara setempat.

Selain itu, parti DAP juga terbahagi keapada dua kelompok akibat isu tersebut.

Kelompok pertama percaya pembelajaran seni khat sebanyak enam muka surat dalam buku teks tidak akan memberi impak atau kesan kepada murid sekolah Cina.

Manakala kelompok kedua mempunyai pendapat bertentangan mengenai isu itu apabila melihat keputusan pembelajaran seni khat tersebut akan memberi kesan yang sukar diramalkan terhadap sekolah Cina. – 5 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.