SIAPA sangka keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) meneruskan operasi kilang Lynas disebabkan pinjaman wang dari Jepun.

Penentang paling kuat kilang Lynas ketika bergelar pembangkang, Fuziah Salleh mendakwa Putrajaya tersepit berhubung isu Lynas kerana salah kerajaan terdahulu.

Ahli Parlimen Kuantan itu berkata, kerajaan dulu adalah punca hutang negara terlalu tinggi sehingga Putrajaya terpaksa meminjam wang dari Jepun.

Akhirnya, kata Fuziah, Jepun yang untung daripada hasil nadir bumi diproses kerana Malaysia meminjam wang dari negara itu dalam bentuk Bon Samurai.

Fuziah berkata, industri hiliran di Jepun akan lumpuh jika Putrajaya tidak meluluskan lesen operasi Lynas.

“Bayangkan keadaan tersepit yang kita berada kini.”

Semalam, kerajaan dilaporkan akan mengumumkan keputusan memperbaharui lesen operasi Lynas di Gebeng selewat-lewatnya 15 Ogos ini.

Alasan Fuziah itu mengundang kritikan pedas dari bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagi Najib, alasan Fuziah itu sangat mengarut disebabkan dua perkara.

Pertama katanya, tiada siapa yang memaksa Malaysia meminjam wang dari Jepun.

“Selama ini, kerajaan BN masa saya PM tidak pernah pinjam dari Jepun.

“Dulu masa PM ke-4, kita banyak pinjam dari Jepun sehingga hutang asing kita melambung apabila nilai Yen naik berkali ganda.

“Tapi kerajaan BN masa saya sudah melunaskan kebanyakan hutang ini,” katanya menerusi coretan di Facebook.

Perkara kedua katanya, hutang negara telah meningkat dari RM686.8 bilion pada akhir 2017 masa BN kepada RM807 bilion sekarang.

Jelasnya, hampir seluruh kenaikan RM120 bilion ini adalah dari sumber pinjaman domestik dalam Ringgit Malaysia.

Najib kata, tiap-tiap bulan PH meminjam sekitar RM10 bilion dan dengan itu, hutang negara bertambah sekitar RM10 bilion tiap-tiap bulan.

Bulan Julai, PH pinjam RM10.5 bilion. Bulan Jun pinjam RM8 bilion. Bulan Mei pinjam RM12 bilion.

Bermakna ianya tidak ada masalah untuk PH meminjam dari sumber domestik.

Jangan lupa bahawa kerajaan BN juga meninggalkan rizab tunai sebanyak RM170 bilion dalam Petronas sehingga PH menjarah RM82 bilion.

Kalau boleh pinjam RM120 bilion dari sumber domestik dan jarah RM82 bilion dari Petronas, kenapa pula PH perlu pinjam RM7.3 bilion dari Jepun?

“Tapi, apa yang Fuziah tak sebut ialah kerajaan PH telah menerima bayaran RM175 juta dari Lynas baru-baru ini.

“Oleh itu, lesen Lynas dilanjutkan dan Lynas mungkin dibenarkan untuk buang sisa-sisa mereka ke dalam bekas kolam lombong.

“Kenapa tak sebut duit Lynas sudah masuk?” soal Najib. – 5 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.