DULU selalu rakyat disajikan dengan slogan popular Pakatan Harapan (PH), ‘Najib turun, ringgit naik!’.

Tapi nampaknya lepas PH jadi kerajaan pun, ringgit masih belum naik walaupun Datuk Seri Najib Razak sudah turun sebagai perdana menteri dan kini menjadi pembangkang.

Mengulas lanjut situasi ringgit hari ini, Najib dengan sinis berkata, slogan ‘Najib turun, ringgit naik’ perlu ditukar kepada ‘Guan Eng turun, ringgit naik’, merujuk kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau menyarankan perkara itu kerana sehingga kini selepas beliau ‘jatuh,’ nilai ringgit tidak pula naik seperti mana yang dilaungkan oleh pemimpin kerajaan suatu ketika masa dahulu.

Mengambil contoh situasi semasa, Najib berkata, misalnya sesiapa yang menghulur wang kertas RM10 di kaunter mana-mana cawangan Bank Bangkok di Thailand, akan menerima balik 67.7 baht.

“Saya nak tanya apa terjadi dengan slogan ‘Najib turun, Ringgit naik’ kerana isu itu adalah antara propaganda utama PH sebelum PRU14.

“Sehingga ada yang mengeluarkan propaganda menipu bahawa Ringgit Malaysia tidak laku lagi di negara Thailand.

“Najib dah turun 15 bulan, ringgit dah naik belum? Ataupun slogan perlu ditukar menjadi Guan Eng turun, ringgit naik?” katanya menerusi Facebook.

Kata Najib, nilai ringgit ketika ini jatuh ke tahap paling rendah dalam sejarah berbanding mata wang Thailand sekali lagi pada hari Jumaat minggu lalu.

“Sebelum PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14), ringgit sedang memulih ke RM1 kepada Baht 8.25 tetapi membuat pusingan U selepas itu.

“Saya masih ingat pada bulan Januari lalu, saya menimbulkan bahawa ringgit telah jatuh teruk berbanding matawang Baht selepas PRU14.

“Masa itu, ringgit juga telah jatuh ke tahap paling rendah dalam sejarah berbanding Baht masa itu dan bertanya apa jadi dengan laungan “Najib turun, ringgit naik”, katanya.

Jelasnya, ketika itu, Perdana Menteri ke-7 (Tun Mahathir Mohamad) menjawab bahawa bukan ringgit yang jatuh tetapi mata wang Amerika Syarikat yang naik.

“PM ke-7 beri alasan ini salah Trump masa itu. Bukan lagi salah Najib. Tapi tak sangka bahawa selepas jawapan dia bulan Januari lalu, ringgit terus jatuh sekitar 5 peratus lagi berbanding Baht ke tahap hari ini,” sindirnya. – 5 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.